Tuesday, January 15, 2013

RUD ~ PROLOG , 1 N 2



Prolog

Dia memandang dari jauh. Menyorok di balik rimbunan pohon yang agak rendang. Dengan keseluruhan berpakaian hitam, sehitam malam yang gelap pekat, dia seolah-olah menjadi kameleon. Si penyamar yang boleh berubah dalam apa juga bentuk dan warna mengikut keadaan sekeliling. Dia tidak mahu sesiapa jua pun menyedari kehadirannya di situ. Rancangan yang sudah lama disusun rapi harus dilaksanakan malam ini juga.
Dia tidak mahu ada halangan yang akan menghalang niatnya. Setelah hampir dua minggu memerhati, menunggu dan bersabar dia yakin malam ini dia pasti berjaya. Sesiapa pun tidak mampu menghalang dia lagi. Malam ini malam penentuan. Malam ini akan menyaksikan satu lagi kejayaannya. Malam ini bakal melengkapkan koleksinya. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman. Senyuman yang cukup menakutkan. Senyuman yang bisa membuatkan seorang lelaki gagah juga tunduk ketakutan.
Insan yang diperhatikan semakin menghampiri. Dadanya kembali berdegup kencang. Bukan kerana cemas dan takut tetapi debaran menanti kelazatan yang bakal dinikmatinya seketika nanti. Sememangnya telah lama dia tidak merasa kenikmatan itu. Dan ketika ini dia benar-benar ketagihkan hidangan itu. Tanpa sedar imaginasinya sudah membayangkan aksi-aksi memberahikan yang bakal dinikmatinya tidak lama lagi.
Sekujur tubuh yang amat indah pada pandangan mata. Wajah yang kerap menganggu lenanya. Mengubah seluruh kehidupannya. Membuatkannya kembali menjadi si pemburu. Desah nafas semakin kuat. Tanpa sedar lidahnya membasahi bibir. Dia melihat jemarinya yang kembali menggigil. Peluh kembali membasahi seluruh tubuh. Tangan kasarnya menyapu peluh yang menghiasi seluruh wajah. Ya! Masanya telah tiba.
Dalam menunggu dia mendengar derap perlahan kaki sedang melangkah. Argh...langkah kaki yang sopan. Lenggok tubuh yang gemalai. Senyuman yang bisa meruntuhkan benteng pertahanan hatinya. Ya! Dia tidak silap membuat keputusan. Pilihan kali ini adalah pilihan yang paling tepat pernah dilakukan. Hebat mengalahkan insan-insan yang pernah dinikmati sebelum ini.
Dengan perlahan juga dia melangkah keluar dan menampakkan wajah. Ternyata insan itu terkejut apabila langkahnya dihalang tiba-tiba. Sekali lagi senyuman meniti di bibir. Dia melihat mata insan itu liar memandang ke sekeliling. Mungkin mahu mencari sesuatu...atau lebih tepat lagi seseorang untuk meminta pertolongan. Dia ketawa. Apabila melihat ketakutan pada mata itu, tawanya semakin kuat. Malam ini tiada siapa yang akan menganggu mereka. Malam ini milik mereka berdua. Malam ini insan di hadapannya akan menjadi sejarah. Insan ini sudah tidak tertolong lagi jiwanya.
Dia mengeluarkan sesuatu dari poket jaketnya. Mata insan itu semakin terbeliak. Mungkin juga tidak menyangka ini akan berlaku padanya. Mungkin juga memikirkan apa yang telah dilakukan sehingga menemui nasib sebegini. Si kameleon semakin menghampiri. Belum sempat insan itu membuka mulut memohon pertolongan, tubuh itu terkulai. Si kameleon senyum kepuasan.


BAB 1

“ Tadi aku jumpa Jad!”
Aktiviti penulisan Amie Najla’ terhenti tiba-tiba. Bergegar jantung mendengar nama Jad Imran tanpa diduga. Setelah sekian lama dia cuba melupakan nama itu tetapi kenapa tiba-tiba sahaja Hani menyebut namanya? Tanpa pesan dan tanpa amaran. Mendengar nama Jad Imran seolah-olah sebutir bom jatuh ke bumi. Kuatnya gegaran mengalahkan atom yang gugur di bumi Hiroshima dan Nagasaki. Amie cuba menutup perasaan gementar. Sememangnya dia tidak mahu Hani mengetahui bahawa Jad masih lagi berupaya membuatkan jiwanya gelisah. Dia tidak akan sekali-kali menunjukkan kepada Hani yang lelaki itu masih lagi menghantui hidupnya setelah sekian lama.
Amie mendongak memandang Hani. Melemparkan senyuman manis buatnya. Berpura-pura ceria. Dia mahu Hani tahu yang dia tidak kisah mendengar berita itu. Biarlah...Jad sememangnya bukan ditakdirkan untuknya semenjak lama dahulu. Malah sejak dari dulu lagi dia tidak pernah memiliki diri lelaki itu. Dia tidak layak untuk seorang lelaki bernama Jad Imran.
“ Ye ke? Kat mana?” soalnya sekadar berbahasa. Tidak mahu dengan bertambah diamnya dia akan lebih membuatkan Hani semakin tekad mengorek rahsia.
“ IKEA.” jawab Hani ringkas. Amie mengangguk perlahan. Dalam diam dia  menghela nafas lega. Nasib baik dia tidak mengikut Hani ke IKEA petang tadi. Dia tahu, dia telah berjanji untuk menemani Hani membeli aksesori untuk menghiasi kamar mandinya, tetapi dia telah membatalkan pada saat-saat akhir.
Bukannya apa, membeli belah bersama Hani menyebabkan kepala Amie sendiri mahu terbelah. Bukan sekadar sejam dua, malah Hani mampu bertahan sehingga berjam-jam lamanya.  Dia ingat lagi beberapa tahun lepas, semasa karnival jualan murah di seluruh negara, Hani hampir-hampir dihalau pengawal keselamatan kerana keengganannya meninggal pusat membeli belah terkemuka itu. Dan ketika mendengar ceritanya ini, dia perlahan menarik nafas lega. Mujurlah dia tidak terserempak dengan lelaki yang bernama Jad Imran itu.
Mungkinkah ini satu petanda? Kalau tidak, apakah yang akan berlaku sekiranya dia bertemu dengan Jad? Sememangnya kenangan antara mereka hanya mengundang kepedihan dan kesakitan. Dia tidak mahu dengan bertemu Jad akan membangkitkan kembali semua perasaan yang telah dipendamkan selama ini. Dan ada satu perkara lagi yang menghalang dia bertemu Jad. Ya...perkara itu. Dia telah berjanji dan bersumpah akan mendiamkan apa yang telah berlaku. Namun bagaimana kini? Apakah yang akan berlaku kalau-kalau ‘mereka’ tahu dia telah kembali ke Malaysia? Adakah ‘mereka’ akan bertindak seperti dulu? Tanpa sedar tubuh Amie menggeletar.
            “ Kau ok?” soal Hani sambil mengerutkan dahinya. Amie tahu Hani telah berjaya menangkap sesuatu dari riak wajahnya. Dia cepat-cepat melarikan wajah. Setelah 15 tahun menjalin persahabatan, Hani bijak mengesan sebarang perubahan pada wajahnya. Dia kembali menumpukan perhatian kepada barang-barang yang dibeli Hani. Satu persatu  dikeluarkan sambil memberi komen pada setiap barang yang Amie tahu agak mahal harganya. Dia kenal Hani. Dia tahu seleranya memang tinggi kalau membeli belah.
            “ Berapa ribu kau habis ni? Aku dah pesankan. Beli barang yang perlu aje. Tak payah nak membazir sampai macam ni sekali. Ni ha...sampai tiga sekali kau beli. Bentuk sama, cuma warna je berlainan. Kan membazir ni. Kau bukannya guna pun. Aku jamin punya benda ni akan berkulat tak lama lagi.” bebel Amie sambil menunjukkan barang-barang yang sememangnya cantik tetapi tidak begitu penting pada perkiraannya.
Hani menolak jauh barang yang dibelinya dari capaian teman karibnya. Tanpa sepatah kata, dia menghenyakkan tubuhnya di hadapan tubuh Amie yang kecil molek itu. Amie hanya memerhati dengan penuh tanda tanya. Apa yang berlaku? Silap cakapkah dia? Tersinggungkah Hani dengan tegurannya?
Tapi masakan begitu. Hani keras hati orangnya. Setakat kata-kata begitu tidak akan berbekas apa-apa padanya. Mereka pernah bergurau lebih kasar daripada ini. Takkan dia tersinggung pula. Serta merta Amie berasa kesal. Niat hati ingin bergurau. Tapi begini jadinya. Apa boleh buat, dia sudah terlajak kata.
            “ Betul kau tak rasa apa-apa? Betul kau ok?” soal Hani sekali lagi membuatkan Amie tergamam. Ternyata sangkaannya salah sama sekali. Dia mahu membiarkan soalan Hani tidak berjawab. Kalau boleh dia tidak mahu memperkatakan mengenai topik yang berkait rapat hubungannya dengan Jad. Tetapi, dia juga tahu Hani degil orangnya. Dia tidak akan berputus asa selagi tidak mendapat jawapan yang dikehendaki. Dan dia juga tidak mahu dituduh dungu jika dia berpura-pura tidak memahami soalan Hani.
            “ Aku dengan Jad dah tiada apa-apa lagi Hani. Hubungan kami dah lama putus. Aku belajar hidup tanpa dia bertahun dulu. Apa yang aku rasakan semuanya sudah padam. Aku dah tak ada apa-apa perasaan pada dia lagi. Nada. Zilch. Zero. Jadi kenapa sekarang kau masih nak ungkit tentang dia? Aku tahu kau jumpa dia. Jadi, apa masalahnya? Itu semua tak ada kaitan dengan aku.” 
Dia melihat Hani mengangguk perlahan mendengar apa yang diluahkan. Hani memandangnya sekali lagi. Melalui riak wajahnya, Amie tahu ada sesuatu yang ingin disampaikan. Mungkin Hani memerlukan kekuatan atau sedikit suntikan semangat untuk berterus-terang. Dia hanya mendiamkan diri. Tidak mahu memaksa Hani untuk memberitahu apa yang begitu jelas bermain di fikirannya. Dia yakin, topik berkenaan lelaki bernama Jad itu masih belum tamat.
Amie bangun menutup tv yang terpasang dari tadi. Komputer riba turut dia tutupkan. Semenjak dua menjak ini, dia dan Hani begitu bermurah hati mendermakan duit mereka pada Tenaga Nasional Berhad. Buka sahaja television namun mata memandang ke arah lain. Buka penghawa dingin di bilik namun duduknya di dapur. Apa yang pasti kenikmatan menonton tv sudah hilang bertahun lalu.
Amie mengambil keputusan untuk tidur sahaja. Jejak 12 malam telah lama berlalu. Esok dia terpaksa bangun awal. Dia perlu berjumpa dengan editornya untuk menyerahkan manuskrip terbaru. Namun belum sempat dia bangun, Hani mencapai tangan dan menyebabkan langkahnya terhenti. Tanpa bersuara, dia melihat mata Hani merayu supaya dia menunggu, mendengar bicara yang seterusnya. Amie akur kerana dia melihat sesuatu pada wajah Hani. Pada matanya yang kerap kali bersinar. Ada perkara yang lebih penting ingin dicakapkannya. Ya! Amie yakin.
“ Kenapa? Apa yang tak kena?” soal Amie sambil membalas genggaman jemari Hani.
“ Terus terang dengan aku. Kau memang tak ada simpan perasaan lagi pada Jad? Memang betul-betul kau dah lupakan dia?” Dia mencebik mendengar soalan itu. Kenapa itu juga yang kerap ditanya? Bukankah sudah lebih beribu kali dia memberitahu jawapan yang sama? Takkanlah dalam banyak-banyak itu satu pun tidak lekat dalam kepala Hani?
“ Amie, cakap dengan aku.” gesa Hani perlahan apabila melihat Amie  keberatan menjawab soalannya. Tidak mahu terus memanjangkan cerita, Amie terus mengangguk. Biarlah! Ada masanya rahsia perlu tersimpul rapi tanpa tiada siapa pun yang tahu. Ada masanya, sebuah rahsia perlu dibawa mati.
Rapat sekalipun hubungannya dengan Hani, dia masih tidak mampu bercerita. Dia masih tidak sanggup memberitahu sesiapa pun mengenai rahsia ini. Sesungguhnya tiada sesiapa yang tahu. Rahsia ini hanya ALLAH dan ‘dia’ sahaja yang tahu. Rahsia mereka bertiga.
            “ Baguslah. Sebab aku tak suka tengok kau bersendirian macam orang mati laki lagi dah. Kalau Jad boleh teruskan hidup dia tanpa kau, maknanya kau pun kena kuat macam dia.” balas Hani seperti menyembunyikan sesuatu.
            “ Apa maksud kau?” Amie tiba-tiba menjadi takut dengan ketenangan pada wajah Hani. Pada cerita yang bakal terbongkar. Mata jernih Hani menatap wajahnya.
            “ Amie, aku nampak dia dengan seseorang!”



BAB 2

            Jad meraup wajah dalam kepayahan. Kepalanya berserabut. Fikirannya semakin tidak tenang semenjak dia bertembung dengan Hani petang tadi. Petang tadi dari jauh dia sudah terpandangkan gadis itu. Belum sempat dia mahu mengelakkan diri, Hani sudah melihatnya terlebih dahulu. Menyedari situasi yang tegang itu, sepatutnya dia mencari jalan untuk menjauhkan diri. Memilih laluan lain atau menyorok sekalipun asalkan mereka tidak bertembung tetapi adakah dia berbuat demikian? Tidak, sebaliknya dia dengan senyuman penuh lebar menanti dan menunggu Hani menghampirinya. Menunggu seolah-olah kehadiran gadis itu amat dinanti-nantikan. Ya ALLAH,  dia tidak pernah merasa dirinya sebodoh seperti hari ini.
            Tetapi wajarkah dia melarikan diri? Setelah lebih lima tahun masakan tidak mahu bertegur sapa dengan temannya sendiri? Seperti Amie, dia juga sahabat Hani. Takkanlah kerana terputusnya hubungannya dengan Amie menyebabkan dia harus memutuskan persahabatan dengan Hani. Bukankah itu mengarut?
Mengenangkan Hani, entah mengapa tiba-tiba wajah Amie Najla’ terbayang pada layar fikiran. Tidak seharipun berlalu tanpa memikirkan wanita itu. Dan sehingga kini kekesalan itu masih membelenggu diri. Dia masih tidak memahami apa yang sebenarnya telah berlaku. Melihat Hani, kembali menguatkan ingatannya terhadap Amie. Jad melepaskan keluhan. Entah apalah malang sangat nasibnya bertembung dengan Hani petang tadi.
Ditambah lagi dengan kehadiran Suraya di sisi. Jad mula menyesal dengan tindakannya. Dia sepatutnya tahu sekiranya dia keluar bersama Suraya pasti ada mata yang melihat. Ada insan yang mengenalinya selama ini. Dia sepatutnya lebih berhati-hati. Tetapi dia sendiri benar-benar tidak menyangka akan bertemu Hani di sini.
Bukankah selama ini mereka berada di Sepanyol? Menetap di rumah sepupu Hani di sana? Bila mereka pulang? Jad mengeluh keras. Rasa tertekan semakin menghimpit perasaannya apabila menyedari bahawa perjumpaan mereka ini pasti akan sampai ke telinga Amie. Dia yakin Hani tidak akan mendiamkan diri begitu sahaja.  Amie pasti akan tahu! Dan ketika ini dia sanggup melakukan apa sahaja untuk melihat reaksi wajah Amie apabila Hani memberitahu mengenai pertemuan mereka. Tidakkah Amie berasa apa-apa? Sekali lagi Jad meraup wajah. Ketenangan hatinya kembali terusik.
            “ Abang bimbang Amie tahu?” Pertanyaan Suraya tiba-tiba menjengah telinganya. Dia memandang sekilas pada Suraya yang baru melabuhkan punggung di sisinya. Pedih jiwanya apabila mendengar nama Amie di bibir Suraya. Ah...hati, tenanglah engkau. Seharusnya Amie tidak harus menghantui hidupnya lagi. Amie sudah tiada apa-apa lagi kepadanya. Benarkah begitu? Dia menjeling sekilas pada Suraya. Sejak bila dia pandai membaca hati aku? bisik Jad dalam hatinya.
            “ Abang tak risau Amie tahu?” soal Suraya lagi apabila tidak menerima sebarang jawapan dari Jad.
            “ Kalau dia tahu pun apa salahnya? Siapa dia nak marah-marah abang keluar dengan orang lain.” Dengan sambil lewa dia memberikan jawapan. Suratkhabar yang baru dilipat dibuka kembali. Membaca mengenai perang di Iraq adalah lebih mudah dari cuba menyelesaikan kekusutan yang berperang dalam hati dan perasaannya ketika ini.
Seketika kemudian Jad beristighfar. Mana mungkin kisah-kisah pembunuhan dan pengemboman beribu-ribu orang awam itu dapat disamakan dengan kisah cintanya yang gagal. Tidak sama sekali. Di antara perang cintanya bersama Amie, hanya hatinya seorang saja yang terluka. Masakan sama dapat dibandingkan dengan apa yang berlaku dalam senario dunia sekarang ini. Dia bukan siapa-siapa. penderitaan yang ditanggungnya dulu bukanlah apa-apa kalau hendak dibandingkan dengan penderitaaan rakyat Iraq atau Palestine yang setiap hari berperang dengan maut.  Jad insaf sendiri.
            “ Abang sendiri pulak macam mana?” Suraya masih tidak mahu mengalah.
            “ Kenapa banyak tanya sangat ni?” Jad merungut geram. Tidak puas hati dengan sikap Suraya yang seolah-olah mahu menerongkai apa yang bermain dalam hatinya tika itu. Tidak banyak yang diminta. Biarlah dia bersendiri melayan luka hati. Dia tidak mahu diganggu. Susah sangatkah Suraya hendak faham? Suraya terdiam mendengar nada suara Jad yang agak tinggi.
Dia tahu nama Amie seperti taboo dalam hidup Jad. Semenjak beberapa tahun lepas, memang jarang sekali nama itu muncul dalam perbualan mereka. Seingatnya hanya sekali sahaja. Semasa Jad menceritakan tentang perpisahannya dengan gadis itu. Selepas itu Jad tidak membenarkannya membuka cerita tentang Amie lagi. Sehinggalah petang tadi. Amie kembali menghantui hidup mereka. Dan dia sendiri tidak pasti sama ada dia harus bimbang atau gembira dengan berita ini. Namun dia tahu apabila tiba masanya dia perlu membuat keputusan. Keputusan yang terbaik untuk semua pihak.
            “ Maafkan abang. Abang tak sengaja nak berkasar tapi, boleh tak kalau kita tutup cerita tentang dia?” pinta Jad dengan suara yang tertahan.
 Suraya mengangguk kecil apabila melihat Jad meninggalkannya sendirian di situ. Tanpa sedar satu keluhan keluar dari bibirnya. Dia sedar dengan kedegilan Jad. Hendak menyebut nama Amie pun lelaki itu sudah tidak sanggup. Apatah lagi bercerita tentang perasaannya pada wanita itu. Suraya mengeluh lagi... silapkah keputusannya dahulu? Sudahkah tiba masanya untuk dia mengembalikan semuanya kepada yang lebih berhak?
          


No comments:

Post a Comment