Tuesday, January 15, 2013

RUD 9, 10, 11


BAB 9


Jad  mematikan enjin kereta. Namun dia tidak segera keluar. Masih ada beberapa minit lagi sebelum waktu melawat tiba. Dia tahu tidak ada salahnya kalau dia mahu terus pergi memandang kawasan parkir kereta yang disediakan agak jauh dari bangunan yang menempatkan bilik Amie. Dan sekiranya dia berjalan sekarang risiko untuk berebut dan berhimpit-himpit di dalam lif bersama pelawat lain adalah kurang namun kenyataan itu masih belum mampu membuatnya bergerak. Kenapa?
Dia terpaksa mengakui bahawa sememangnya dia sengaja melewat-lewatkan masa untuk bertemu Amie. Sebab apa? Dia sendiri tidak tahu. Jad menghela nafas. Ketenangan hatinya yang sentiasa berkocak semakin tidak keruan. Dia mula mempersoalkan tindakan sendiri. Patutkah dia turut sama melibatkan diri dalam masalah Amie? Walaupun memang benar kata Hani bahawa Amie tiada saudara mara yang dapat memberikan perhatian dan kasih sayang tapi perlukah dia mengadai kebahagian diri sendiri hanya kerana Amie?
Kejam benar engkau Jad Imran. Tiba-tiba nalurinya menerjah ke dasar hati. Sejak bila engkau menjadi seorang yang mementingkan diri sendiri? Sejak bila pula Amie mula menjadi beban pada diri engkau? Dan Hani pula pasti tidak akan memohon pertolongan sekiranya dia mampu menangani semua ini sendirian. Tapi...tapi aku tidak sanggup memandang wajahnya tanpa mengingati peristiwa silam. Amie telah lukakan hati aku. Hatinya terus berperang dengan akal.
Ah...engkau memang mementingkan diri Jad. Lupakah engkau apa yang berlaku pada Amie sekarang? Kenapa perkara silam yang sudah lama berlalu yang masih engkau ingat juga? Lupakan. Kali ini bukan engkau yang perlukan perhatian. Bukan masanya untuk engkau merajuk dan kecil hati. Ini bukan tentang engkau tetapi tentang Amie. Walau apa pun yang pernah Amie lakukan, engkau tidak boleh membiarkan dia begini sahaja. Engkau kena bantu dia. Tapi bagaimana? Bagaimana harus aku membantu Amie? Aku tidak tahu caranya.
Percaya Jad. Percaya itu satu kuasa. Siapa yang mempunyai kepercayaan pasti akan berjaya. Percayalah yang engkau juga mampu membantu Amie. Jangan bimbang. Segala-galanya akan terungkai tidak lama lagi. Segala persoalan akan terjawab. Engkau tidak perlu berbuat apa-apa. Hanya engkau perlu berada di sisinya. Amie perlu tahu bahawa dia tidak bersendirian dalam hal ini. Percayalah Jad.
Telefon bimbitnya berdering mengejutkan Jad dari monolog dalaman. Segera dia menjawab. Suara girang Hani menyapa telinganya.
“ Jad ...Amie dah ingat. Dia ingat kita semua.” Dan melalui ayat yang tidak sampai sepuluh patah itu dia merasakan dunianya kembali terhumban ke jurang yang sangat dalam. Benarkah Amie sudah sedar? Mengapa semalam Amie tidak mengenali dirinya? Malah nama sendiri pun Amie tidak ingat. Masakan secepat itu amnesia Amie pulih? Tetapi Dr. Ranjit sendiri mengatakan bahawa tempoh amnesia ini tidak mengenal masa. Ada yang mengalaminya sekejap cuma. Ada yang menderita selama-lamanya.
Jad segera keluar dari kereta. Sikit demi sikit langkahnya semakin laju dan akhirnya dia berlari. Tidak sabar rasanya dia mahu bersua dengan Amie. Tanpa disedari secarik senyuman menghiasi wajahnya. Tiba-tiba dia berasa amat bahagia.



“ Jad? Apa yang berlaku? Apa Amie buat kat sini? Kenapa...?” Jad melihat wajah Amie penuh kekeliruan. Pandangan matanya juga meliar ke sana sini seolah-oleh mahu mengecam di mana dia berada sekarang. Segera dia merapatkan jarak antara mereka. Dia tahu Amie semakin panik melihat keadaan dirinya yang penuh dengan balutan. Tubuh lemah Amie disentuh perlahan untuk menahan Amie bangun dari pembaringan. Mengenali Amie seumur hidupnya, dia yakin walaupun dengan keadaan cedera begitu, Amie masih lagi cergas untuk mendapatkan jawapan yang dicarinya.
“ Perlahan-lahan. Jangan banyak bergerak. Amie masih lemah,” tegahnya perlahan sambil membetulkan bantal supaya Amie dapat duduk dengan lebih selesa. Kemudian segelas air diajukan kepada Amie. Gadis itu menyambut tenang walaupun pelbagai persoalan yang berselirat dalam kepalanya ketika ini. Dia memerhatikan Jad kembali duduk di atas kerusi. Agak jauh darinya. Kerutan di dahinya mula terpamer. Dia kembali memerhatikan tingkah laku Jad. Kenapa dia merasakan lelaki ini seperti mahu menjauhkan diri darinya?
“ Kenapa duduk jauh sangat?” soalnya tanpa tertahan lagi. Dia menunjukkan ruang kosong di atas tilam, tanda mahu lelaki itu duduk berhampirannya.
Jad serba salah. Dia mengeling seketika kepada Hani yang sedang duduk di atas sofa. Dia mengharapkan Hani membantunya namun sedari tadi Hani kelihatan begitu khusyuk dengan majalah yang dibawa bersama. Tetapi kerana tidak mahu mengecewakan Amie dia akur juga. Tubuhnya yang tinggi dilabuhkan di sisi Amie. Ternyata keputusan yang diambilnya tepat kerana tindakannya itu disambut dengan senyuman manis Amie Najla’.
“ Macam mana Amie rasa sekarang? Sakit lagi? Saya panggilkan doktor ya?” tanyanya bertalu-talu. Sudah hampir dua minggu Amie tidak menyedarkan diri dan tiba-tiba sahaja dia bangun dalam keadaan yang ceria, seolah-olah terjaga dari lena yang panjang. Seolah-olah tidak pernah mengalami kemalangan yang bisa meragut nyawanya.
Walaupun bertanya, dia tetap juga memanggil doktor yang bertugas. Dia tidak perlu bergerak meninggalkan Amie sendirian. Dengan hanya menekan butang yang disediakan, dia yakin doktor akan ke mari pada bila-bila masa sahaja. Namun pada itu dia tetap berasa hairan. Jikalau kali ini Amie mengenali dirinya bagaimana pula dengan kejadian semalam? Amie terjaga tanpa mengingati apa-apa. Hatta dirinya sendiri. Jad hairan. Kejadian semalam seolah-olah tidak berlaku. Seperti mimpi sahaja layaknya. Dia memikirkan tingkah laku Amie yang ketakutan apabila dia cuba mendekati dan rasa cuaknya semakin memuncak.
“ Ceritakan apa yang berlaku,” pinta Amie apabila dia melihat Jad masih mendiamkan diri. Tiada tanda untuk memenuhi ruang-ruang kosong yang dipenuhi persoalan untuk apa dia berada di sini. Sekali lagi dia melihat Jad mengeluh. Mata mereka bertentangan seketika sebelum Jad melarikan pandangannya. Tanpa sedar jemarinya menggengam erat selimut putih yang menutupi tubuhnya. Dia tidak mahu mengakuinya namun dia yakin, ada sesuatu yang buruk telah berlaku. Sesuatu yang terjadi di luar kerelaannya. Sesuatu yang bisa mengubah hidupnya selama-lamanya.
 “ Amie...,” Belum sempat Jad bercerita, pintu bilik terbuka. Jad segera bangun. Entah mengapa dia rasa bersalah duduk begitu hampir dengan Amie walaupun dia tahu dia tidak mempunyai hak itu lagi. Dr. Ranjit tersenyum melihat Amie sudah kelihatan segar. Sungguh berbeza sekali keadaannya ketika di bawa masuk ke wad dua minggu yang lalu.
“ Hai Amie, It’s good to hear you finally come around. Macam mana sekarang?” Sapa doktor yang masih tersenyum itu sambil memeriksa nadi dan pernafasannya.
Okay I guess. Tapi kepala saya ni agak sakit sikit.” terang Amie sambil melemparkan senyuman buat Jad dan Hani menunggu di tepi katil membiarkan Dr. Ranjit menjalankan tugasnya.
“ Biasalah tu. You accident lebih dua minggu lepas. To be honest, I quiet worried about you. Selagi you tak jaga, kami tak boleh periksa keadaan you macam mana.” balas Dr. Ranjit lagi.
“ Nak periksa apa lagi doktor? Selain dari sakit kepala ni, saya tak rasa sakit kat mana-mana lagi.” terang Amie sambil menyentuh perlahan kepalanya yang masih ada kesan bengkaknya.
“ Itulah kita kena pastikan. I nak buat CT scan pada otak you. We just want to take precautions. Lagipun memang perkara biasa kalau you rasa sakit dan pening kepala. Masa kemalangan tu, kepala you terhentak pada cermin kereta. Jadi kami kena pastikan yang tak ada apa-apa masalah yang akan timbul nanti. Buat masa ni you kena banyak-banyak rehat. Nanti I akan datang periksa lagi.” Dr. Ranjit mencatat sesuatu di atas carta yang tersedia di hujung katil.
“ Bila saya boleh keluar Doktor?” soal Amie seolah-olah tidak dapat menahan sabarnya lagi. Menurut kata doktor yang berketurunan Singh itu, jikalau tiada apa-apa masalah, dia boleh keluar wad dalam beberapa hari lagi. Argh...dia sudah tidak sabar untuk menempuh detik itu. Tidak banyak masa lagi. Kalau mengikut perkiraannya, hanya ada lima minggu lagi sebelum peristiwa bersejarah itu berlangsung. Dia sudah tidak sabar untuk menantinya. Jad juga pasti berperasaan sedemikian. Telah terlalu lama mereka membilang waktu demi waktu.
Dr. Ranjit yang dapat mengesan ketidaksabaran Amie hanya tergelak kecil. Dia memerhatikan kedua-duanya. Amie dengan wajah ceria dan Jad dengan wajah muram yang sedaya-upaya disembunyikannya. Dia tahu apa yang berkocak dalam jiwa anak muda itu. Dia tahu kenapa kegelisahan itu bersarang. Dia menoleh ke arah Amie semula.
“ Ni nak keluar cepat-cepat ni kenapa? Ada apa sampai tak menyempat-nyempat?” Dr. Ranjit sedikit terpana melihat wajah Amie yang sudah kemerah-merahan mendengar pertanyaannya. Dahinya berkerut. Apa yang pelik dengan soalannya?
“Lagi  dua minggu lagi, majlis perkahwinan saya dengan Jad. 27hb Mei. Nanti doktor datang ya.” balas Amie yang tidak menyedari pandangan yang bertukar antara Jad dan Hani.
“ Apa?” Soal Jad dengan nada berbisik. Wajahnya sudah semakin pucat.
“ Jad  lupa ya? Kan hujung bulan ni hari nikah kita? Sampai hati tak ingat majlis sendiri.” Amie sudah berubah muka. Tidak puas hati dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Jad. Kenapa reaksinya begitu? Macam orang tidak mahu berkahwin sahaja riaknya. Namun dia tidak mempedulikannya kerana saat ini hatinya terlalu bahagia.


BAB 10

“ Dr. Ranjit, boleh saya jumpa sekejap.” Jad yang sudah sejam menunggu doktor perempuan itu habis sesi memeriksa pesakit segera bangun dari duduk. Sudah naik kematu punggungnya menunggu di atas kerusi yang keras. Terasa menyesal pula datang tanpa membuat temujanji dengan doktor muda itu sebelum ini. Namun bilakah kesempatan yang dia ada? Sebolehnya dia mahu merahsiakan pertemuan yang bakal berlangsung ini daripada pengetahuan Amie. Walaupun apa pun yang terjadi, Amie tidak boleh tahu.
Dr. Ranjit tercengang seketika sebelum senyuman manis terukir di bibirnya. Dia lantas mempelawa Jad masuk ke pejabatnya.
“ Dah lawat Amie? Keadaan dia semakin baik. Kalau berterusan, dia dah boleh keluar nanti.” Jad menggeleng. Dia tidak berkata apa-apa mengenai pertanyaan itu. Ah...Dr. Ranjit pasti lebih tahu. Jam baru pukul 11 pagi. Masih ada sejam setengah sebelum pesakit boleh menerima pelawat. Dan untuk apa soalan itu diutarakan? Adakah perempuan Singh ini mahu memberi pengecualian kepadanya?
“ Eh...silakan duduk. Buat apa tercegat saja.” pelawa doktor muda itu apabila melihat Jad seperti serba tidak kena. Apa masalah dia ni sebenarnya?
“ Doktor ada jumpa Amie tadi? Macam mana keadaan dia?” Dahi Dr. Ranjit berkerut. Bukankah dia sudah menyatakan tadi? Keadaan Amie sudah bertambah baik. Tidak dengarkah lelaki ini dengan apa yang dikatakannya? Namun merasakan ada sesuatu yang menganggu fikiran Jad diulangi saja jawapan yang diminta.
“ Amie masih lagi bercakap pasal majlis perkahwinan kami?” Dr. Ranjit terus mengangguk. Sekali lagi senyuman bermain di bibirnya.
“ Nampaknya Amie tu macam tak sabar-sabar lagi nak keluar. Dan saya rasa awak jugak pun rasa yang sama kan?” soalnya sambil memerhatikan rapat ke wajah Jad. Manik-manik yang mula kelihatan mematikan senyumannya. Mengapa dia tidak perasan? Sedari tadi tingkah laku Jad memang pelik. Sudah sah sekarang. Ada sesuatu yang telah berlaku.
“ Kenapa Jad?”
“ Saya rasa Amie belum sembuh lagi.” balasnya dengan tenang. Lebih mudah berterus-terang dengan doktor ini dari menerangkan hal yang sebenarnya pada Amie. Dr. Ranjit mungkin menganggap Amie sudah sihat sepenuhnya apabila dia tiada tanda-tanda hilang ingatan. Namun doktor perempuan itu tidak tahu bahawa majlis perkahwinan yang fikirnya bakal berlangsung itu sebenarnya sudah lebih beberapa tahun berlalu. Dia tidak menyalahkan doktor ini kerana dia tidak tahu. 
“ Majlis perkahwinan kami dah berlalu doktor.”
“ Apa maksud awak?”
“ Bila Amie cakap majlis itu akan berlangsung 25 hb ni sebenarnya berlangsung 25hb Mei 2003. Majlis itu sepatutnya berlaku lima tahun lepas namun sayangnya ia tidak berlaku.”
What?” balas Dr. Ranjit benar-benar terkejut. Semasa memeriksa Amie semalam dia menjalankan prosedur yang biasa untuk pesakit seperti Amie. Dan ternyata Amie tidak hilang ingatan seperti yang didakwanya. Amie mampu mengingati maklumat peribadinya dengan baik.
“ Hari ni 17 Mei 2008. Tapi bagi Amie hari ini 17 Mei 2003. Amie belum sihat lagi doktor. Dia hilang lima tahun yang lepas dalam memorinya. Sebab tu saya halang doktor dari bertanyakan apa-apa pada Amie. Ya saya tahu, doktor sendiri kata risiko Amie untuk hilang memorinya memang ada tapi saya tak sangka dia hilang untuk lima tahun tu. Doktor perlu tolong saya. Amie tidak perlu tahu yang dia hilang ingatan. Dia tidak perlu tahu saya bukan tunang dia lagi. Dia belum bersedia untuk tahu.” rayu Jad benar-benar terdesak.
“ Awak tahu apa yang awak mahu saya buat ni Jad?” Dr. Ranjit masih diselubungi rasa terkejut yang amat sangat. Memang sebelum ini risiko untuk Amie hilang ingatan agak tinggi namun apabila melihat sendiri Amie sedar dalam keadaan ceria dia menyangkakan ingatan Amie tidak terjejas. Setahunya Amie berjaya menjawap soalannya dengan baik. Amie memberikan jawapan yang tepat ketika dia bertanyakan soal tarikh tapi...serta-merta dia teringat. Ya..dia terlupa bertanya tentang tahun, memikirkan kalau Amie betul dengan tarikh tentulah tahunnya turut betul.  Namun sekarang lain pula jadinya. Dia memandang wajah lelaki di hadapannya. Jad terus mengangguk. Dia faham risiko yang perlu diambilnya.
“ Awak nak saya berbohong kepada pesakit saya. Awak tahukan itu menyalahi etika kerja saya. Saya tak boleh buat begitu.” bantah Dr. Ranjit yang semakin pelik dengan permintaan Jad yang bukan-bukan.
“ Amie tak boleh tahu doktor. Saya dah berkahwin. Amie tak boleh tahu itu. Hatinya akan hancur. Kalau dia memang benar Amie yang pernah saya kenal dulu, percayalah...hatinya akan terluka. Dia tidak akan dapat menerima kenyataan bahawa saya bukan miliknya lagi. Tolonglah. Saya bukan buat semua ini untuk melepaskan diri saya. Saya hanya pentingkan Amie.” rayunya tanpa putus asa.
“ Saya tak pasti sama ada saya boleh setuju dengan kerja gila ni. Jad awak benar-benar memperjudikan etika dan pegangan saya. Saya...tak tahu.” Dr. Ranjit sudah mula mundar mandir di dalam pejabatnya. Permintaan Jad ini dirasakan sungguh luar biasa. Dan sebagai penjawat awam dia memang tidak boleh menerima cadangan gila Jad ini.
“ Doktor tak nak tolong saya tak mengapa. Tapi kesannya doktor tanggung sendiri. Doktor boleh merawat Amie. Boleh periksa setakat mana memorinya hilang tapi percayalah... di saat dia sedar saya bukan tunangnya lagi...” Jad memejamkan mata. Tidak mahu membayangkan apa yang dia tahu akan berlaku.
“ Tolonglah saya. Tolong saya untuk bantu Amie. Saya akan terangkan segala-galanya. Saya akan cuba membantu pulihkan ingatannya tapi bukan sekarang doktor. Tolonglah. Beri saya masa.” Memikirkan dia masih mempunyai peluang Jad berterusan memujuk tanpa mengenal erti lelah.
            “ Saya gila kalau saya bersetuju dengan rancangan awak ni, tapi tak mengapa. Buat masa ni saya boleh tolong awak. Saya akan rahsiakan buat sementara waktu. Tapi Jad, kalau Amie sendiri yang bertanyakan dan kalau perkara ini terbongkar dengan sendirinya saya akan berterus-terang.” Dr. Ranjit memberi amaran. Dia memicit kepala yang mula terasa pening. Entah kuasa apa yang merasuknya sehingga sanggup bersetuju dengan permintaan itu. Dia sendiri tidak tahu tetapi apabila melihat kesungguhan Jad, dia jadi lembut hati.
            Jad menarik nafas lega. Syukurlah Dr. Ranjit sanggup membantunya ketika ini. Ya...dia tidak pernah berniat mahu membohongi Amie. Dia hanya perlukan tempoh untuk menyelesaikan beberapa perkara. Dan dia memerlukan bantuan Hani untuk menjayakan rancangan ini. Sampai masanya apabila dia merasakan Amie sudah benar-benar bersedia dia sendiri akan menbongkarkan segalanya. Dia bukannya lelaki dayus yang takut menerima kenyataan sekiranya Amie tahu perkara yang sebenarnya. Tidak! dia bukan lelaki seperti itu.



BAB 11

“ Kau gila ke Jad Imran?” Melangsing suara Hani menjamah anak telinganya. Jad memberikan isyarat supaya dia merendahkan suara. Tanpa berkata sepatah pun, dia terus mengajak Hani keluar dari bilik itu.
 “Macam mana kita nak selindung daripada Amie. Dia bukan bodoh tau. Dia akan tahu kita tipu dia.” bantah Hani lagi. Kali ini nadanya sudah semakin kendur. Apabila mendengar saranan daripada Jad sebentar tadi dia sudah tahu bahawa rancangan gila Jad tidak akan berjaya. Kalau Dr. Ranjit sendiri menyatakan persetujuan itu tidak bermakna dia mesti mengikut rancangan tidak masuk akal ini.
Banyak perkara yang perlu mereka fikirkan. Bagaimana hendak menerangkan kepada Amie tanpa membuatkan Amie mengesyaki mereka? Hani menyerah kalah awal-awal lagi. Dengan Amie dia tidak mampu berbohong. Dia tidak pandai berbohong. Jad sendiri tahu kelemahan dia yang satu itu. Jadi mengapa masih mahu melibatkan dirinya? Dia menggeleng berkali-kali. Mungkin kalau dia bertegas Jad akan mengalah namun sebaik sahaja menyedari dirinya menjadi perhatian, Hani kembali menunduk muka. Dia terpaksa mengakui bahawa dengan Jad, dia tidak akan menang dengan mudah.
 “ Kau yang minta aku tolong Amie. Cara inilah yang aku tahu. Cara inilah yang aku fikir yang terbaik. Ataupun kau ada idea lain? Ataupun kau nak masuk dalam dan cakap pada Amie yang aku dah kahwin? Cakap yang dia hilang lima tahun dalam hidupnya. Dan aku tak pernah ada sepanjang masa tu. Kau sanggup?” duga Jad cuba membawa Hani membayangkan situasi itu.
Hani menekup wajahnya. Tidak dapat membayangkan apa yang akan mereka lakukan. Saat ini alangkah lebih mudah kiranya ingatan Amie terpadam terus daripada hanya hilang sebahagiannya sahaja. Bukan niatnya mendoakan yang tidak baik-baik untuk Amie namun sekurang-kurang mereka tidak perlu menjawab kenapa dalam tempoh lima tahun itu hubungan Amie dan Jad masih belum dimenterai dengan akad yang suci? Sesungguhnya dia tidak mempunyai jawapan untuk soalan itu.
“ Hani, walau macam mana gila pun atau tak logiknya rancangan aku ni, aku yakin ini yang terbaik. Aku memang tak nampak jalan lain dah. Kau agak apa yang Amie akan buat kalau dia tahu perkara yang sebenarnya?” sekali lagi itu yang menjadi persoalan.
Mendengar pertanyaan itu, Hani terdiam. Dia tahu apa yang akan berlaku. Bukan sikit-sikit tahun dia mengenali teman baiknya itu. Dan dia tahu dia tidak mempunyai jalan lain untuk membantah. Walaupun berat dia tahu mereka terpaksa mencuba juga dengan cara yang disyorkan oleh Jad. Setakat mana mereka akan berjaya, semua itu akan diketahui apabila tiba masanya nanti.
“Hani?” Jad memanggil apabila melihat Hani seola-olah keberatan sahaja lagaknya. Dia tahu dan faham. Dia juga berat hati untuk melakukan semua ini namun dia terpaksa. Apa yang dia harapkan Amie dapat memaafkan dia apabila semua ini terbongkar nanti. Hani tidak perlu dipersalahkan kerana semua ini adalah rancangannya semata-mata. Dia melihat Hani mengangguk.
“ Kau nak aku buat apa?”
“ Macam ni...”
      


Amie menunggu Jad dengan penuh rasa debar. Beberapa minit lagi mereka akan bertemu. Walaupun hampir setiap hari mereka berjumpa namun entah mengapa tiba-tiba rasa rindu menjengah dalam jiwa. Dia menyandar kemas pada kepala katil. Rambut yang separas bahu telah disisir rapi. Mujur juga Hani membawa sedikit barang keperluan asas untuknya. Tidaklah dia nampak pucat dan bersememeh sahaja. Dia mahu kelihatan cantik di mata Jad.
Bunyi derapan kaki semakin menghampiri. Amie sudah bersiap sedia dengan senyuman manis. Biarlah Jad bahagia melihatnya. Dia mendengar suara Jad memberi salam. Dengan pantas dia menyambut di dalam hati. Namun tatkala matanya menjamah wajah Jad hatinya tiba-tiba berasa cuak. Walaupun Jad turut tersenyum namun dapat dirasakan senyuman itu dibuat-buat. Tidak terpancar kejujuran dan keikhlasan seperti selalu yang dilihatnya.
“ Kenapa Jad?” tanyanya semakin curiga apabila Jad kelihatan serba salah. Kalau sedang gelisah Jad akan sentiasa menyelak rambutnya seperti yang dilakukan ketika ini. Kalau dilanda kebimbangan Jad akan memasukkan kedua belah tangannya kedalam poket seluar. Juga seperti apa yang dilakukan ketika ini. Amie yakin ada sesuatu yang mengganggu ketenangan hatinya. Adakah dia yang menjadi puncanya?
“ Saya ada sesuatu perkara yang saya nak terangkan.” Dengan penuh berhati-hati Jad memulakan bicara.
“ Apa dia?”
“ Amie ingatkan masa Amie sedar lepas pembedahan dulu Amie hilang ingatan sekejap?” Amie mengangguk.
Dr. Ranjit juga sudah menjelaskan kepadanya dulu. Doktor itu juga pernah menerangkan bahawa amnesia sementara ini memang kerap berlaku lebih-lebih lagi kepada mangsa kemalangan sepertinya. Ada mangsa yang mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh. Ada yang sekejap sahaja sepertinya. Semuanya bergantung pada tahap kecederaan yang dialami mangsa. Malah ada yang langsung tidak pulih dari amnesia untuk selama-lamanya. Untuk itu Amie sangat-sangat bersyukur kerana dia masih mempunyai kesempatan itu. Dia masih ingat pada insan-insan kesayangannya.
“ Sebenarnya Amie masih belum pulih.” terang Jad perlahan dan satu persatu. Dia tidak mahu Amie terkejut dengan berita yang dibawanya.
“ Apa maksud Jad? Saya tak faham.”
“ Amie tahu kenapa saya tak benarkan Amie baca suratkhabar? Amie tak hairan kenapa hanya seorang sahaja jururawat yang menjaga Amie tapi tak pernah bercakap sepatah pun dengan Amie?” Walaupun pelik dengan soalan yang diajukan namun Amie tidak dapat menafikan kemusykilan yang melanda hatinya setiap kali jururawat bernama Salmah itu datang.
Bukan sahaja dia tidak bercakap tetapi segala pertanyaan yang diutarakan hanya diam sahaja jawapannya. Paling tidak pun jururawat itu meminta dia bertanyakan sendiri kepada Dr. Ranjit. Sudah tentu dia berasa hairan. Takkanlah semuanya hendak ditanyakan kepada doktor itu? Ya...baru kini dia ingat. Kelakuan mereka semua pelik-pelik belaka. Amie semakin keliru. Jad melihat dengan tenang segala persoalan yang boleh dibaca melalui riak wajah di hadapannya. Dia sedar semakin lama dia melengah-lengahkan perkara ini, Amie akan menjadi lebih buntu.
“ Saya tahu Amie dah ingat kami semua. Amie ingat tarikh perkahwinan kita tapi apa yang Amie tak ingat ialah...” Jad berhenti seketika.
“ Apa dia. Jad  buat Amie berdebar-debar ajelah.”
“ Berapa tarikh hari ni? Amie tahu?” duga Jad. Amie segera menjawabnya. Adakah kerana tarikh ini yang menyebabkan Jad dilanda kebimbangan? Adakah Jad diserang rasa panik menjelang majlis perkahwinan mereka? Jad menggeleng perlahan.
“ Hari ni 17 Mei 2008 Amie. Bukan tahun 2003 lagi.” jelasnya satu persatu.
“ Kita kahwin tahun 2003. Tapi sekarang dah tahun 2008.”
“ Apa?” Berkerut dahinya mendengar penjelasan Jad. Cakap apa ni? Sungguh dia tidak memahaminya. Dia cuba bangun dari katil namun Jad menghalang. Bahunya dipegang dengan kejap. Dan dengan perasaan yang gelisah dia hanya menurut apabila Jad memintanya memandang wajah lelaki itu.
“ Amie, memori Amie hilang untuk lima tahun yang lepas. Sebab itulah Amie sangka kita akan berkahwin minggu depan. Padahal 25hb ni adalah hari ulangtahun perkahwinan kita yang kelima.” jelas Jad dengan perlahan seperti bercakap dengan kanak-kanak sahaja gayanya. Amie cuba memahami apa yang diterangkan kepadanya. Maknanya sudah lima tahun mereka berkahwin dan dia tidak dapat mengingati satu pun sepanjang masa itu.
Lima tahun. Dia melihat pada suratkhabar yang dibawa oleh jad. Dia segera mencapai akhbar itu dan membacanya dengan rakus. Ya! Jad tidak berbohong kepadanya. Memang benar tarikh yang tertera pada akhbar Berita Harian itu adalah tahun 2008. Dan dia cuba membaca laporan berita yang dipaparkan. Pakatan rakyat sudah ditubuhkan. Lima negeri ditawan kepada pembangkang dua bulan lalu. Ya...dia terpaksa mengakui. Segalanya benar-benar terjadi. Dia hilang lima tahun dalam hidupnya.
Lima tahun. Satu tempoh yang amat lama. Tetapi kenapa hanya tempoh itu sahaja yang hilang dari memorinya? Apa yang berlaku sepanjang masa itu yang menyebabkan keadaannya jadi begini? Dia mendongak meminta kepastian. Kalau tidak kerana wajah serius Jad dia tentu sahaja menganggap bahawa Jad hanya mahu bergurau dengannya.
“ Jadi ki..kita dah kahwin?” Dia melihat Jad mengangguk. Lambat sahaja pergerakannya. Seolah-olah tidak mahu mengakui kebenaran perkara itu.
“ Betul Jad? Kita dah kahwin?” ulang Amie sekali lagi dan mendapat jawapan yang sama. Dan apa yang berlaku selepas itu benar-benar membuatkan Jad tergamam bilamana Amie merangkulnya tiba-tiba. Untuk menghalang, akan lebih membuatkan Amie curiga. Sudahnya dia hanya berdiri kaku membiarkan Amie memeluk tubuhnya. Alangkah berdosanya dia merindui sesuatu yang bukan menjadi hak miliknya untuk diperlakukan seperti itu. Dia tidak mempunyai hak untuk menagih kasih Amie.
“ Saya tak ingat apa yang berlaku tapi saya gembira kerana Jad  ada di samping saya. Saya bersyukur sangat sebab impian kita termakbul juga. Saya rasa takut Jad bila kenangkan yang mungkin ingatan saya tak akan kembali tapi bila Jad ada di samping saya, saya tahu dan yakin segala-galanya akan pulih seperti biasa. Jad tak akan biarkan saya. Betul kan?” bisik Amie sambil wajahnya masih tersembam di dada sasa milik Jad. Lelaki bukan muhrim yang disangka menjadi suaminya.
Dan Jad pula seakan mahu mati. Dia mula merasakan kesilapan dalam rancangannya. Ya ALLAH, betulkah apa yang aku lakukan ini? Ampunkan aku Ya ALLAH sekiranya aku melampau batas kerana mahu membantu Amie. Tunjukkanlah aku jalan yang benar. Jalan yang tidak akan menyebabkan aku mendapat murkaMU.
“ Jad?” Amie memanggil apabila teringatkan sesuatu. Mengapa dia merasakan ada satu kekurangan.
“ Betulkah lima tahun lepas kita kahwin?” soal Amie untuk kesekian kalinya. Dan jawapan Jad masih lagi serupa. Amie diam memikirkan persoalan yang bermain-main di mindanya ketika ini. Sebaik sahaja mengetahui mengenai perkahwinan mereka, otaknya segera mencerna persoalan baru.
“ Lima tahun...lama tu.” Dia memandang wajah ‘suaminya’.
“ Kita tak ada anak?” Jad tiba-tiba terasa mahu pitam.

No comments:

Post a Comment