Tuesday, January 15, 2013

RUD ~ 4 N 5


BAB 3

            Aku jumpa Jad...aku jumpa Jad...” kata-kata Hani terus terngiang-ngiang dalam kepalanya. Amie tiba-tiba menghentikan langkah. Tindakan yang dilakukan secara tiba-tiba itu menyebabkan pelanggan lain yang berada di belakangnya turut sama terhenti bagi mengelakkan perlanggaran berlaku. Dia cepat-cepat meminta maaf dan beredar ke lorong lain apabila menyedari tindakannya kurang disenangi oleh pelanggan lain. Dalam hati dia menyalahkan diri sendiri kerana terlalu memikirkan tentang lelaki yang sudah terlalu jauh pergi dari hidupnya.
Dia berhenti di lorong yang menempatkan makanan dalam tin. Tanpa berfikir panjang dia mencapai beberapa tin sup campbell dan beberapa barang keperluan lain. Setelah hampir 1 jam dia memilih dan membeli stok makanan selama dua minggu dia bergerak ke kaunter bayaran. Setengah jam kemudian dia tiba di rumah.
            “ Amie, kau ke tu?” Dari luar dia mendengar laungan Hani. Dia menyahut. Barang-barang yang dibeli tadi segera dikeluarkan dari bonet kereta. Dan tiba-tiba dia perasan, dia telah membeli lebih banyak dari kebiasaan. Ah! Biarlah. Bukan membazir pun. Lama kelamaan akan habis juga. Fikirnya mudah mahu menutup rasa bersalah kerana pembaziran yang telah berlaku. Hani menyambut di muka pintu. Melihat dia terkial-kial membawa beg plastik yang banyak Hani pantas membantu.
            “ Eh... banyaknya kau beli. Kata nak tunggu aku kalau nak shopping barang dapur ni. Kenapa kau pergi sorang-sorang?” tegur Hani dengan nada sedikit kesal. Kasihan pula kerana membiarkan Amie pergi bersendirian. Beg-beg plastik itu segera dibawa ke dapur.
            “ Kalau nak tunggu kau, kebulurlah aku jawabnya. Barang dapur dah banyak yang licin. Lagipun dah alang-alang aku singgah kat Jusco tadi. Ala, relakslah. Aku bukannya jalan kaki. Tapi lepas ni giliran kau pulak ye.” balas Amie sambil duduk di kerusi melepaskan lelah. Air jus oren yang dihulurkan kepadanya diteguk rakus. Terasa begitu nikmat air yang sejuk itu mengalir di kerongkongnya. Hani hanya mengangguk senang. Dia tidak berkira dalam hal ini. Memang semenjak dahulu lagi bekalan barang-barang dapur akan dibeli bersama. Dan sekiranya salah seorang daripada mereka sibuk, maka mereka akan pergi bersendirian.
Dia akui kebelakangan ini dia sedikit sibuk. Musim peperiksaan di Universiti sudah bermula. Kalau hendak diikutkan jadual yang diberikan, hampir selang sehari dia terpaksa menjadi ketua pengawas peperiksaan. Itu belum dikira kertas jawapan yang perlu ditanda. Tanpa diarah dia membantu Amie menyimpan bekalan makanan itu di dapur. Seketika kemudian dahinya berkerut apabila melihat pilihan makanan Amie.
            “ Amie? Apa ni?” soalnya seakan tidak dapat menahan rasa ingin tahu. Pergerakkan tangan Amie terhenti seketika. Dia memandang tin makanan yang berada dalam genggaman Hani. Dia tahu kenapa Hani menyoalnya begitu tetapi sengaja dia buat tidak faham. Lagipun dia bukannya sengaja mencapai makanan kegemaran Jad. Entah kuasa mana yang merasuknya supaya membeli makanan itu. Dia mengangkat bahu apabila renungan Hani masih terarah kepadanya.
            “ Saja. Aku teringin nak makan. Lagipun kalau cicah dengan roti kan sedap. Boleh diet. Makan nasi hari-hari boleh naik badan macam dipam-pam tahu tak?” Amie mencipta alasan dengan senyum sumbingnya. Dia tidak mahu Hani membesarkan perkara itu. Sebab apa dia membeli semua makanan kesukaan Jad, dia sendiri tidak mampu menjawabnya. Yang pasti dia tidak mahu Hani menuduhnya tidak mampu melupakan Jad Imran lagi.
            “ Tapi kenapa tiba-tiba je. Selama ni, kau memang tak pernah sentuh pun makanan ni. Sebab Jad? Sebab aku sebut nama dia? Tapi, kenapa? Aku tak faham. Masa dengan Jad dulu pun kau tak lalu makan benda ni kan?” Amie terdiam seketika mendengar persoalan demi persoalan dari sahabat baiknya. Dia tahu sudah tentu Hani kehairanan melihat beberapa bekas tin sup Campbell dan bahan-bahan untuk membuat spageti yang dibelinya.
Sebab Jad kah? Dia sendiri tidak tahu. Yang pastinya sup cendawan dan spageti meatballs merupakan antara makanan kegemaran Jad. Selera mereka memang berbeza. Dia lebih sukakan masakan melayu sedangkan Jad lebih kepada makanan barat. Kenapa dia membelinya sedangkan dia sendiri tahu dia tidak akan lalu untuk menjamahnya? Ah...perasaan datang dan mengusik jiwanya. Sekali lagi dia tiada jawapan.
            “ Manusia boleh berubah Hani. Kita tidak akan kekal dengan satu-satu sifat selama-lamanya. Memang naluri manusia ni selagi ada nafsu dalam dirinya, memang tak akan puas dengan satu-satu benda. Kalau cinta yang bertahun-tahun pun boleh putus. Boleh berubah. Apatahlah lagi kalau setakat perubahan selera makan. Kan normal tu.” balasnya perlahan tanpa sedar melahirkan rasa kesal. Hani yang tekun mendengar tersentak. Benarkah apa yang sedang didengarinya ini? Adakah Amie bercakap tentang cintanya terhadap Jad?
            “ Amie, kau bercakap tentang Jad ke?” Dengan penuh berhati-hati dia menyoal. Dia tidak mahu pertanyaannya nanti bakal menghiris jiwa Amie yang masih belum pulih sepenuhnya itu. Kehairanannya semakin menjadi-jadi apabila melihat Amie menggeleng perlahan.
            “ Aku bercakap tentang aku Hani.” jawab Amie yang masih mahu berahsia.
            “ Kau bercakap tentang cinta kau ke atau selera makan kau ni?” tekan Hani lagi. Benar-benar tidak dapat memahami apa yang bermain di fikiran temannya ketika ini.
            “ Read between the lines Hani... read between the lines.”
            “ Hei apa ni? Aku tak faham.”
            “ Kita sama Hani. Aku pun tak faham tindakan aku sendiri.”



BAB 4

Jad sedang keluar dari kereta apabila tiba-tiba dia berasa bulu romanya meremang. Serta merta jantungnya berdegup kencang. Dia memerhatikan sekitar kawasan Central Market itu. Cuba mencari apa yang menyebabkan dia berperasaan begitu. Tiada apa-apa kelainan. Kawasan itu sama sahaja seperti hari-hari biasa. Sesak dengan orang ramai. Apa yang berlaku? Hanya perasaannya ataupun sememangnya sesuatu akan berlaku? Oleh kerana tidak mahu membiarkan perasaan yang kurang menyenangkan itu menyelubungi diri, Jad bergerak pantas menuju ke Watsons.
Semasa dalam perjalanan pulang berjumpa penyelia tesisnya, dia mendapat panggilan daripada Intan yang mengirim dibelikan beberapa barang keperluannya. Mengenangkan adik seorang yang sangat manja itu, dia sanggup berpatah balik semula walaupun sudah hampir tiba di kawasan rumah. Dia rela berasa penat memandu sedikit daripada terpaksa menatap wajah muncung Intan sepanjang malam.
Dia tidak mengambil masa yang lama untuk mendapatkan kesemua barang yang diperlukan. Sememangnya dia begitu. Tidak suka berlengah-lengah setelah mendapat sesuatu yang dihajati. Lagipun membeli belah bukan satu perkara yang gemar dilakukannya semenjak dahulu lagi. Ketika menuju ke tempat parkir kereta, perasaan kurang enak itu muncul kembali. Semakin membuak-buak dan menyentak perasaan.
Dia yakin ada sesuatu yang akan berlaku. Nalurinya juga berkata demikian tetapi apakah ia? Kali ini dia tidak boleh membiarkannya lagi. Setelah dia mencampakkan kesemua beg plastik ke dalam kereta, dia bersandar sekejap di badan kereta Toyota Harrier miliknya. Ya ALLAH, perasaan apakah ini? Dia beristighfar dan membaca beberapa ayat suci Al-Quran yang mampu membuatkan perasaannya menjadi tenang. Manusia yang lalu lalang dipandang dengan perasaan bercampur aduk. Dia kembali memandang ke hadapan dan terpaku.
Nun, beberapa meter dia terpandangkan seseorang. Jad tergamam. Tidak percaya dengan apa yang dilihatnya ketika ini. Adakah ini satu petanda? Perasaan dan naluri yang dirasai adakah seperti satu alamat bahawa ini yang akan berlaku? Ya ALLAH, secepat inikah?
Tanpa sedar kakinya melangkah perlahan ke arah insan yang sudah lama tidak ditemui. Benarkah itu dia? Langkahnya sudah tiba di perhentian bas. Dia menatap wajah Amie yang masih berada di seberang jalan. Menunggu untuk melintas jalan. Dia melihat Amie mengerling jam di pergelangan tangannya berkali-kali. Mungkin tidak sabar menunggu atau mungkin juga dalam keadaan tergesa-gesa mahu menyiapkan tugas yang perlu dilakukan. Amie masih tidak lagi menyedari dengan kehadirannya di situ. Dia menunggu dengan sabar. Dia mahu melihat reaksi gadis itu. Adakah Amie juga terkejut ataupun sememangnya menjangka pertemuan mereka?
“Amie...” Dia menyeru nama itu perlahan, dengan penuh perasaan. Dengan penuh rindu dendam yang saling menyentak-nyentak dalam jiwanya kini. Seperti mendengar namanya dipanggil Amie merenung ke hadapan. Mencari-cari dalam keriuhan serta hiruk pikuk manusia dan pandangan mereka bertemu. Masa seakan berhenti untuk seketika. Membiarkan mereka tenggelam dalam dunia ciptaan masing-masing.
Segala-galanya menjadi kabur. Di situ hanya ada mereka berdua bersama kemanisan dan keindahan cinta yang dicemari dengan kepedihan dan penderitaan. Terpanar sekejap Amie melihat lelaki itu sedang merenungnya tajam. Dari jauh dia dapat membaca bibir Jad bergerak-gerak menyebut namanya. Mungkin masih tidak mempercayai apa yang sedang berlaku dalam hidup mereka ketika ini. Setelah lebih lima tahun terpisah akhirnya mereka kembali ke sini. Seolah-olah dipukau, dia bergerak menghampiri lelaki itu.
Jad melihat Amie menghampirinya. Dia menanti dengan perasaan penuh debar. Perasaan yang tidak dapat terluah dengan perkataan. Segalanya berkecamuk dan membingungkan. Amie masih lagi melintas tanpa mempedulikan lalu lintas yang sememangnya begitu sibuk ketika ini. Bunyi hon-hon kereta dan bas silih berganti. Caci maki pemandu yang tidak berpuas hati dengan tindakan Amie yang melintas tidak tentu hala tidak dipedulikan. Mata Amie tidak berganjak dari wajahnya. Tiba-tiba bunyi satu hon yang panjang menyebabkan pandang mereka beralih arah. Jad menjerit cuba memberi amaran tapi segalanya sudah terlambat. Di perhentian bas itu, dia terduduk melihat Amie kaku di atas jalan raya.




BAB 5

            Hari masih lagi hujan. Semenjak ambulans membawa Amie pergi, hujan turun tidak henti-henti. Langit seolah-olah tahu akan keresahan hatinya ketika ini. Langit seakan-akan mahu berkongsi kesedihan hatinya. Jad berdiri di luar bilik pembedahan. Apabila mereka sampai petang tadi, Amie serta merta disorong ke bilik keemasan dan sehingga kini dia masih tidak menerima apa-apa berita tentang Amie. Jad menoleh apabila terdengar tapak kaki menghampirinya. Dia benar-benar mengharapkan itu doktor yang membawa khabar tentang Amie tapi dia hampa apabila wajah Hani dijamahnya. Dia menyambut dengan sedikit senyuman apabila Hani menghulurkan secawan air untuknya.
            “ Masih tak ada berita?” soal Hani yang turut sama memandang ke arah bilik pembedahan yang masih tertutup rapi. Jad Imran menggeleng. Dia sudah tidak mampu untuk bersuara lagi. Tubuhnya terasa lemah. Kalau tidak kerana kerusi kayu yang disediakan di luar bilik pembedahan ini rasanya sudah lama dia terjelopok di atas lantai. Wajah pucat Amie berterusan menghantui dirinya. Dia melihat bajunya yang dilumuri darah milik Amie dan perasaannya semakin tertekan. YA ALLAH, Kau selamatkanlah dirinya. Aku masih belum sanggup untuk kehilangannya lagi. Aku masih belum bersedia.
            “ Lama sangat ni. Kenapa doktor tak keluar-keluar lagi?” Hani menyatakan kebimbangannya. Tadi apabila menerima panggilan daripada Jad, dia tidak mahu mempercayainya. Dia fikir Jad sengaja mahu bergurau dengannya. Dia tidak mahu menerima kenyataan ini. Menerima kenyataan yang mungkin Amie akan meninggalkan mereka buat selama-lamanya.
            “ Jad .. ma..macam mana kalau...?” Jad pantas menoleh ke arah Hani. Matanya mencerlung marah mencabar Hani menyambung kata-katanya. Bagaimana Hani boleh terfikir...?
            “ Amie tak akan apa-apa. Dia selamat.” Begitu tegas dan pasti.
            “ Tapi....”
            “ Amie masih hidup. Itu yang lebih penting sekarang ini.” jawab Jad mematikan segala keraguan Hani.
Perlahan dia menyapu air mata yang mengalir di pipi. Sedaya upaya dia menahan tangisan. Dia tidak mahu Jad mendengarnya. Lelaki itu sudah kelihatan terlalu tertekan dengan keadaan mereka sekarang. Bukan dia tidak cuba bertanya apa sebenarnya yang terjadi sehingga menyebabkan Amie kemalangan tetapi setiap soalannya dijawab dengan kesepian. Jad langsung tidak mengendahkannya. Seingatnya dalam beberapa jam itu boleh dikira berapa patah ayat yang keluar dari mulut lelaki itu.
Banyak sebenarnya persoalan yang ingin ditanya, seperti bagaimana Jad sendiri boleh berada di sini namun dia tidak berani. Walaupun dia rapat dengan kedua-duanya namun masalah peribadi antara mereka berdua tidak pernah diketahui. Bukan tidak ditanya namun Amie hanya membisu. Sudahnya dia sendiri membiarkan perkara itu berlalu begitu sahaja dan berharap suatu hari nanti Amie ataupun Jad sudi bercerita.
            Jad cepat-cepat bangun apabila melihat seorang doktor perempuan menghampiri mereka. Dalam diam dia cuba memerhati riak wajah doktor itu. Cuba membaca apa yang akan diterangkan sebentar nanti. Jantungnya seakan berhenti berdegup apabila membaca riak risau di wajah wanita berketurunan Singh tersebut. Tanpa sedar, Jad mengenggam tangan Hani mencari kekuatan dan bersedia dengan apa-apa kemungkinan. Hani yang sedikit terkejut dengan tindakan Jad itu hanya membiarkan sahaja. Dia juga diselubungi rasa bimbang yang keterlaluan apabila memgenangkan nasib Amie nanti.
            “ Macam mana keadaan dia doktor?” Hani segera bertanya.
            For now, she’ asleep. Which is a good sign.” jawabnya sambil mengerling ke arah Jad yang seakan bertukar menjadi patung dengan kehadirannya. Melihat keadaan lelaki itu dia kembali terkenangkan pesakit yang baru dirawati sebentar tadi. Dan dia tidak tahu keadaan siapa yang lebih membimbangkan. Amie sudah tentu kerana kecederaan yang dialaminya, sedangkan lelaki yang bernama Jad Imran ini pula...Dr. Ranjit melepaskan keluhan. Lelaki ini perlu mengawal perasaannya. Kalau tidak, tidak mustahil nanti dia juga akan terbaring di katil pesakit kalau dia berterusan begini.
            “ Jom, kita ke bilik saya. Ada satu perkara yang saya nak cakapkan.” pelawa doktor Ranjit sambil menarik lembut tangan Hani. Seperti dipukau, mereka berdua mengikut tanpa banyak soal. Dan Jad pula apabila mendengar kata-kata itu semakin gelisah memikirkan sesuatu yang tidak diingini telah berlaku. Langkahnya menjadi semakin perlahan. Dia belum bersedia untuk menerima berita buruk ini. Sampai bila-bila pun dia tidak akan bersedia. Namun memikirkan Hani dan Dr. Ranjit yang masih menanti, digagahi jua untuk melangkah dan menyertai mereka.
            “ Hasil dari pemeriksaan, saya dapati kepala Amie terhantuk pada cermin kereta. Ada sedikit bengkak dan benjol pada kepalanya. Keadaannya boleh dikatakan agak parah juga tapi nasib baik Amie sudah melepasi tempoh kritikal. Syukurlah keadaan tak seteruk yang disangka. Tapi pemeriksaan lanjut perlu dilakukan. Tiada kecederaan pada anggota badannya yang lain. Tapi kesan luka-luka kecil tetap ada. Dan untuk beberapa hari yang akan datang Amie akan berasa sangat lenguh dan sakit badan.” Dr. Ranjit bersuara.
“ Itu berita baiknya sebab kecederaan Amie mungkin boleh jadi lebih teruk. Kalau mengikut kesan kemalangan, Amie boleh mengalami pendarahan dalaman, tetapi syukurlah semua itu tak berlaku.”
            “ Tapi..?” Dr. Ranjit memandang ke arah Jad. Akhirnya dapat juga dia mendengar suara lelaki itu.
            “ Yes...there’s a but. Apa yang membimbangkan kami ialah, Amie berkemungkinan akan hilang ingatannya.” terang Dr. Ranjit dengan serba salah. Sebentar tadi dia melihat Hani menarik nafas penuh kelegaan namun kini kedua mereka kembali kaku. Bersedia menerima buruknya pula. Dia tahu mereka ini mengharapkan keajaiban supaya Amie sembuh namun dia hanya manusia biasa. Kuasa untuk sembuh bukan terletak di tangannya.
             “ Apa?” Jad terkejut. Benar-benar terkejut.
            “ Buat masa ini kami hanya meramalkan sahaja. Belum ada kepastian. Tiada laporan lengkap lagi. Seperti yang saya katakan tadi, kecederaan kepala Amie agak teruk juga. Kami terpaksa menunggu keputusan dari makmal. X-rays, dan juga MRI yang akan dijalankan ke atas otaknya. Kami tidak tahu sejauh mana kesan kehilangan memori kepadanya, tetapi apa yang boleh kami pastikan di sini, kemungkinan Amie tidak akan ingat apa-apa jika dia bangun nanti.” Dr. Ranjit memberi penjelasan panjang lebar. Matanya memerhatikan rapat reaksi kedua-dua manusia di hadapannya.
            “ Hilang ingatan? Ya ALLAH, apa yang berlaku ni Jad? Kenapa Amie jadi macam ni?” Hani tidak dapat menahan sedihnya lagi. Bahunya terhenjut-henjut menahan tangisannya. Jad mengenggam erat tangan Hani. Seakan mahu mengalirkan sedikit semangat dan kekuatan ke dalam tubuh gadis itu. Sesungguhnya dia juga terkejut dengan berita itu. Dia sama sekali tidak menyangka seteruk itu akibatnya. Macam mana dengan Amie nanti? Macam mana dia hendak teruskan hidup apabila kehilangan salah satu benda yang paling penting dalam hidupnya. Ingatannya.
            “ Amie tak ingat kami? Doktor tak cakap siapa kami ni pada dia?” Dr. Ranjit mengeluh perlahan. Alangkah pedihnya melihat wajah penuh pengharapan dua insan di hadapannya. Apa boleh buat. Seperti yang selalu dikatakan pada kesemua pesakit dan ahli keluarga mereka. Dia hanya manusia biasa. Dia tiada kuasa untuk memulihkan segala-galanya menjadi seperti biasa.
            “ Dia tak ingat kami?” Air mata Hani bertambah laju.
            “ Dia tak ingat nama kamu. Dia tak kenal bila saya sebut nama kamu. Mungkin kalau dia dah berjumpa kamu, dia boleh ingat kembali. Mana tahu...Amie akan ingat semula. Mungkin ini hanya kesan sementara.” balasnya lembut.
            “ Jangan risau. Keadaan seperti ini biasa berlaku. Lebih-lebih lagi kalau pesakit mengalami kes trauma seperti kecederaan kepala. Lagipun Amie baru lepas dibedah. Beri dia masa untuk pulihkan dirinya dulu.” tambahnya lagi.
            “ Kesan ni, adakah sementara atau kekal doktor? Amnesia selalunya sementara sajakan?” Jad menyampuk perlahan.
            “ Betul, tapi dalam kes macam ni, kami terpaksa pastikan dahulu sama ada kemalangan itu merosakkan terus ingatan Amie ataupun tidak. Tapi saya perlu beri amaran, sekali sel otak musnah, Amie mungkin tidak akan ingat selama-lamanya. Dia akan hilang kemampuannya untuk mengingati perbagai perkara. Buat masa ini, kami masih tidak tahu. Kami terpaksa menunggu untuk menjalankan ujian Magnetic Resonance Images (MRI) ke atasnya. Kita perlu tunggu Amie sedar. Sementara itu berdoalah banyak-banyak. Amie benar-benar perlukannya.”


No comments:

Post a Comment