Tuesday, January 15, 2013

RUD 12, 13, 14, 15 16


BAB 12

She knows when I'm lonesome.
She cried when I'm sad.
She's up in the good times.
She' s down in the bad.
Whenever I'm discouraged.
She knows just what to do.
But girl, she doesn't know about you.

How can I tell her about you?
Girl, please tell me what to do.
Everything seems right whenever I'm with you.
So girl, won't you tell me.
How to tell her about you?

Jad menutup pemain cd yang sedang memutarkan lagu nyanyian penyanyi kesukaannya iaitu Lobo. Malam ini dirasakan Lobo seperti menujukan lagu How Can I Tell Her itu untuknya. Dahulu mendengar lagu ini berpuluh-puluh malah beratus-ratus kali pun tidak ada apa yang dirasakannya. Namun seperti lagu itu, dia juga merasa terjerat. Bagaimana hendak memberitahu Amie tentang Suraya?
Bagaimana dia hendak membuka mulut dan menjelaskan bahawa ada insan lain dalam hidupnya kini. Mampukah Amie menerima kenyataan bahawa dia bukanlah perempuan yang teratas dalam hatinya kini. Oh Amie...kenapa mesti aku yang akan melukai hatimu? Kenapa mesti aku yang membawa berita ini? Kenapa mesti aku? Jad benar-benar buntu. Lakonan yang disangka akan membantunya menangani perkara ini rupa-rupanya menjadi semakin sulit.
Dia tidak berfikir panjang apabila berlakon sebagai suami Amie. Dia tidak mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan. Sebab itu dia menjadi kelu lidah sebaik sahaja Amie mempersoalkan mengapa dia tidak menunggu waktu malam di hospital seperti pasangan suami isteri yang lain. Dia akui, sememangnya dia tidak pernah bersedia dengan soalan seperti itu. lebih-lebih lagi apabila Amie mula mempersoalkan tentang anak.
Malam yang gelap dirasakan semakin kelam. Sekelam hatinya ketika itu. Semenjak meninggalkan Amie di hospital petang tadi dia hanya menguncikan diri di bilik ini. Tidak makan ataupun melakukan apa-apa. Hanya termenung memikirkan apa yang dilakukan sekiranya pembohongan ini terbongkar satu hari nanti. Dan selebihnya dia tidak tahu bagaimana untuk memberitahu Amie. Dan Suraya sendiri pula kenapa begitu baik? Mengapa begitu memahami keresahan jiwanya ketika ini? Tidak cemburukah Suraya? Tidak marahkah isterinya itu apabila jelas sekali dia sedang memikirkan wanita lain?
“ Tolong abang Sue. Apa yang perlu abang buat? Macam mana abang nak cakap pada dia?”
Suraya menghenyakkan tubuhnya di sebelah Jad. Walaupun seperlahan mana dia berjalan, Jad tetap akan menyedari kehadirannya. Cadangnya hanya mahu menghantar secawan kopi dan meninggalkan Jad sendirian nampaknya tidak berhasil. Kalau boleh dia tidak mahu menganggu. Dia tahu fikiran Jad kusut ketika ini dan dia tidak mahu menambah kekusutan itu lagi. Dia tahu Jad pasti diserang rasa bersalah yang amat sangat. Dan kehadirannya dalam hidup Jad juga turut menjadi puncanya. Kalau dia tiada mungkin keadaan pasti tidak sesukar ini.
“ Jelaskan perkara yang sebenarnya. Terus-terang dengan Amie. Selagi abang rahsiakan selagi tu fikiran abang tak akan tenang.” sarannya dengan seikhlas hati. Dia sedar selama ini cinta Jad terhadap Amie begitu agung. Dia tidak akan dapat bersaing dengan wanita bernama Amie Najla’ itu.
“ Tapi Amie akan kecewa kalau dia tahu. Dia tak akan dapat terima kenyataan...” rintihnya lagi. Bukan tidak difikirkan kemungkinan itu. Sudah beratus-ratus kali namun dia yakin situasi itu bukan mudah seperti yang disangka.
“ Tapi Amie akan lebih kecewa kalau dia tahu abang menipu dia.” Suraya menyampuk.
“ Bercakap benar lebih baik walaupun kadang kala kebenaran itu menyakitkan.” Tambahnya lagi sambil meninggalkan Jad sendirian. Kata-kata itu berterusan menghantuinya sehingga dinihari. Haruskah aku berkata benar? Jad meraup wajah. Kalau diberi pilihan bukan ini yang dimahunya. Biarlah keadaan kembali asal seperti dahulu. Di mana hidup ini terasa bahagia di mana-mana. Seperti mana kali pertama dia bertemu Amie bertahun dahulu. Perkenalan yang telah melahirkan bibit cinta antara mereka. Dan Jad terus-menerus meladeni perasaannya.




BAB 13
(7 TAHUN DAHULU)

Jad berhenti meneliti peta laluan Metro di tangannya. Kertas kecil yang dipenuhi laluan Metro yang diasingkan dengan pelbagai warna cuba difahami sebaik mungkin. Untuk ke stesen bas Mendez Alvaro, dia perlu menaiki Metro yang mengikuti laluan circular (pusingan) dan mengikuti Anden 6 (laluan 6). Dia memandang keadaan sekelilingnya. Ternyata dia di laluan yang betul. Dia meletakkan beg galasnya ke lantai. Bahunya sudah sakit-sakit mengendong beg yang berisi dengan segala macam barang yang diperlukan sepanjang dua minggu dia berada di Sepanyol ini. Dia mengerling pada jam yang terdapat di stesen Metro itu. Tren yang seterusnya akan tiba seminit lagi. 
Kesempatan yang ada membuatkan dia memerhatikan keadaan sekeliling. Semenjak tiba dari KL semalam, dia sudah membuat keputusan untuk ke Andalusia dahulu. Dia akan menjelajah di bahagian selatan negara Sepanyol itu terlebih dahulu sebelum berjalan di bahagian tengah dan utara pula. Lagipun sudah tersimpan sekian lama dalam hati untuk menjejaki kota Al-Hambra yang terkenal di dunia itu. Memang benar, dia sememangnya tidak sabar untuk melihat rahsia yang terkandung dalam bangunan tinggalan sejarah Islam itu.
Kalau mengikut jarak, dia sepatutnya singgah di Cordoba terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Granada, Malaga ataupun Ameria. Ini kerana Cordoba lebih dekat jaraknya daripada Madrid. Namun oleh kerana dia sudah menempah bilik di Granada terlebih dahulu dan ditambah pula rasa tidak sabarnya menjejaki Al-Hambra, dia rela walaupun terpaksa berulang alik antara Madrid, Granada dan Cordoba. Dia yakin segala penat lelah sepanjang perjalanan ini akan berbaloi.
Bunyi gegaran landasan menandakan tren akan muncul bila-bila masa sahaja. Dia cepat-cepat mengalas beg, menanti dengan tenang tren berhenti sebelum membuka pintu. Ketika dia mahu melangkah memasuki tren tersebut dia terdengar bunyi dentuman. Dia berpaling dan melihat seorang gadis yang baru sahaja tersungkur  menyembah lantai tangga yang dituruninya. Barang-barang yang dibawa bersama habis berterabur di atas lantai. Jad menggeleng perlahan. Entah apa yang dikejarnya dalam kelam kabut itu? Hendak ditolong, tren sudah mula menutup pintunya. Dalam beberapa saat, bayang gadis yang tersungkur itu lenyap dalam pandangan.
Walaupun jam menunjukkan jam 12 tengah malam namun stesen bas Mendez Alvaro masih lagi sarat dengan manusia yang berpusu-pusu menuju haluan masing-masing. Jad tidak ketinggalan. Dia segera menuju ke Anden 20 yang akan membawanya ke Granada. Walaupun dia masih ada masa setengah jam lagi, namun dia tidak mahu melengahkan masa. Lebih cepat dia sampai, lebih cepat dia boleh berehat. Setelah hampir dua puluh empat jam tidak mandi dia sudah mula rasa keletihan. Apabila sampai, bas Alsa yang akan dinaiki masih belum tiba. Dia terus menuju ke kedai berdekatan untuk membeli sebotol air mineral. Bukannya tidak boleh dibeli di dalam vending machine yang tersedia di kawasan parking bas, tetapi dengan kadar euro yang sememangnya lebih tinggi, dia terpaksa berjimat cermat.
“ Hola, Agua mineral, grande.” pintanya pada seorang pembantu kedai. Dia menghulurkan seringit enam puluh sen euro sebelum air mineral botol besar bertukar tangan.
Gracias.” balas perempuan yang agak seksi pakaiannya itu.
De nada.” Jad tersenyum sedikit sebelum meneruskan perjalanan. Di pintu masuk dia hampir bertembung dengan seseorang. Mujur dia sempat bertindak dan mengelak dari pertembungan berlaku.
Perdon.” Perlahan saja suara itu meminta maaf. Jad yang sudah terlambat tidak mengendahkan ucapan maaf tersebut. Tanpa berkata apa-apa dia terus berlalu. Perkhidmatan awam di Sepanyol ini memang terkenal dengan ketepatan masanya. Sangat efisien. Kalau dia tidak mahu ketinggalan bas, dia perlu segera beredar dari situ.
“ Huh! Sombong nak mampus.” Dalam keadaan tergesa-gesa itu dia sempat mendengar suara yang mengutuknya. Dia tergamam dan segera berpaling. Di muka pintu kedai itu dia tidak melihat sesiapa pun di sana. Ayat yang didengari tadi kembali terngiang-ngiang di telinga. Huh! Sombong nak mampus. Hmmm...orang Malaysia ke? Cantik betul bahasa yang digunakannya. Ah...tak kisahlah. Aku dah lambat ni. desisnya perlahan sambil berlari-lari anak menuju ke tangga eskelator. Tepat seperti yang dijangkakan, bas Alsa sudah tiba dan penumpang sudah mula beratur untuk naik. Jad dengan pantas menyimpan begnya di tempat letak bagasi dan turut sama beratur.
Perjalanan dari Madrid ke Granada memakan masa selama lima jam setengah. Jad hanya tidur untuk membuang rasa penatnya dan memulihkan tenaga. Kalau tiada apa-apa kesulitan sepanjang perjalanan, dia akan tiba di Granada pada jam lima setengah pagi. Pintu masuk Al-Hambra akan dibuka pada pukul 9.30 pagi. Dia tidak perlu tergesa-gesa kerana dia sudah membeli tiket secara tempahan atas talian sebelum tiba ke mari. Dia tahu pelancong akan mula beratur seawal jam 7 pagi. Adalah lebih mudah untuk menempah melalui internet daripada terpaksa beratur panjang.
Jad terjaga apabila mendengar suara pemandu kedengaran melalui interkom. Rehat setengah jam. Lantas jam di tangan dikerlingnya sekilas. Sudah pukul empat pagi. Dia mengeluh perlahan. Matanya masih terasa mengantuk, lalu dia membuat keputusan untuk tidak turun dari bas. Dalam lena itu dia mendengar satu suara sedang berbisik. Mungkin sedang berbual di telefon. Makin lama kedengarannya semakin jelas. Dia terus memasang telinga kerana apa yang didengarinya ketika itu amat menarik minatnya.
“ Aku dekat highway ni. Bas berhenti rehat kejap.” Suara itu diam seketika. Mungkin sedang mendengar apa yang dikatakan oleh orang yang ditelefonnya. Kemudian suaranya kedengaran kembali disertai dengan ketawa yang amat perlahan.
“ Aku gamble je ni. Kalau esok tak ada tiket, aku meraung. Biar satu Al-Hambra dengar suara aku.” Suara itu ketawa lagi. Mata Jad sudah hilang mengantuknya. Pertamanya dia mendengar bahasa yang digunakan oleh penuturnya. Dan kedua, rasa terujanya semakin bertambah mendengar perkataan Al- Hambra. Adakah pemilik suara itu akan ke destinasi itu juga? Ah...masakan tidak. Untuk apa ke Granada kalau tidak mahu singgah di Al-Hambra.
 Kalau mahu ikutkan hati, mahu sahaja dia menoleh mencari suara yang sedang rancak berbual itu. Namun suasana yang gelap gelita itu menyebabkan hasratnya tidak kesampaian. Hari ini, sudah dua kali dia mendengar bahasa ibundanya dituturkan, sedangkan pemilik kedua suara itu masih belum dikenal pasti. Tidak mengapa, esok kalau benar aku akan bertemu juga dengan pemilik suara itu. Tidak payah susah-susah mahu menunggu di Al-Hambra, bila turun bas nanti aku akan tahu juga. Jad kembali tersenyum sambil memejamkan matanya kembali.
Senor...senor? ya hemos llegado.” Jad terjaga dari lena yang panjang. Wajah lelaki dalam lingkungan 40-an dan juga merupakan pemandu bas tersebut dijamah dalam keadan terpisat-pisat. Kesan mengantuk yang ada serta-merta hilang seperti disambar garuda. Jad bergegas bangun dan memandang ke belakang. Kosong. Hanya dia dan pemandu itu sahaja yang ada di atas bas itu. Sebaik sahaja mengucapkan terima kasih dia terus melompat turun mengambil beg dan cuba mengejar si pemilik suara semalam.
Namun seperti semalam, bayang suara itu entah ke mana. Tidak meninggalkan sebarang jejak. Jad cuba menutup perasaan hampa. Kenapa dia terlalu obses dengan pemilik suara itu? Kenapa beria-ia benar dia mahu mencari dan mengenalinya? Memikirkan tindakannya yang tidak ubah seperti orang angau, Jad segera mematikan hasratnya. Lebih baik pergi membersihkan diri dari memikirkan perkara yang bukan-bukan.



BAB 14

Amie meneliti kepala lututnya yang bercalar. Kesan darah yang sudah kering disapunya dengan tisu. Rasa pedih menjalar ke seluruh tubuhnya. Entah apa malangnya nasib tersungkur di stesen Metro Madrid semalam. Dia tahu dia tidak seharusnya terburu-buru mengejar tren kerana dia boleh sahaja naik tren yang seterusnya. Tetapi dengan beg yang sarat dikedua belah tangan, dia jadi hilang imbangan ketika menuruni tangga. Lalu terjadilah adegan yang paling memalukan dalam hidupnya. Bertambah pula dengan keadaan orang yang begitu ramai turun dari tren, dia sudah tidak tahu mana hendak disorokkan mukanya. Nasib baik ada sekumpulan gadis berketurunan Arab yang begitu baik hati membantunya.
 Selesai melekatkan plaster di lutut, dia membuka peta Granada semula. Melihat peta yang berselirat itu turut sama membuatkan otaknya semakin sakit. Dia mula menyesali tindakannya yang datang ke Sepanyol seorang diri. Entah apa gilanya dia menerima cabaran daripada Hani untuk ke sini? Sudahlah tiada satupun perkataan Sepanyol yang diketahui dalam kamus hidupnya. Fasih dalam bahasa inggeris pun belum tentu boleh membantu kalau ingin berkunjung ke negara Raul Gonzalez, pemain bola sepak Real Madrid yang menjadi kegilaannya semenjak dahulu lagi.
Dia teringatkan kembali pertaruhan antara dia dan Hani beberapa bulan lepas. Siapa yang dapat menyiapkan tesis sarjana terlebih dahulu berhak memberi hukuman kepada siapa yang menghantar lebih lewat. Mengenangkan Hani, dia begitu tekun dan berusaha bersungguh-sungguh menyiapkan tesis yang sudah tertangguh semenjak sekian lama. Hani agak brutal orangnya. Sebab itulah dia takut mahu memikirkan hukuman apa yang akan diterima sekiranya dialah yang tewas antara mereka berdua.
Pertandingan ini diadakan juga untuk terus memberi dorongan kepada mereka yang sememangnya liat dalam menyiapkan tesis yang menjadi keperluan untuk mereka dianugerahkan Ijazah Sarjana. Untuk menghilangkan gelaran tutor yang dipegang selama dua tahun ini, mereka berdua terpaksa mengambil ijazah sarjana dan seterusnya doktor falsafah sebelum layak digelar pensyarah. Arghh...syarat pengambilan kakitangan akademik semakin ketat di semua Universiti kini.
Kalau tak ada gelaran doktor, jangan harap boleh bergelar pensyarah. Dan sebagai tutor pula, mereka diberi tempoh masa yang ditetapkan untuk menghabiskan sarjana. Sekiranya gagal, kemungkinan kontrak mereka dengan Universiti akan ditamatkan. Oh tidak! Dia tidak boleh membenarkan itu berlaku. Walau apa pun yang terjadi, setahun setengah akan datang dia harus memulakan pengajian diperingkat kedoktoran pula. Itu tekad dan azamnya. Dia tidak mahu sentiasa disoal oleh ketua Jabatan dan Dekan yang bertanyakan bila pengajiannya akan tamat.
 Apabila dia menghantar tesis terlebih dahulu daripada Hani, dia sudah bersorak kegembiraan. Dalam hati, dia berniat akan menghantar Hani ke India. Kalau Hani gila sangat dengan Shah Rukh Khan, dia akan kabulkan impian itu. hehehe....setan dalam diri Amie ketawa terbahak-bahak memikirkan apa perasaan Hani apabila terpaksa ke India nanti.
Apabila Hani menghantar tesisnya sebulan kemudian, dia juga menerima jawapan daripada penyelia tesisnya. Pada hari itu Hani pula yang ketawa terbahak-bahak apabila bab dua tesisnya yang membincangkan mengenai sorotan bertulis atau kajian perpustakaannya masih belum sempurna. Dia terpaksa membuat pembetulan semula. Dan tesis Hani yang sebulan lebih lewat daripadanya senang sahaja diluluskan oleh pihak senat Universiti.
Akibatnya Hani meminta dia ke Sepanyol. Seorang diri selama sepuluh hari. Hani turut menamakan beberapa tempat yang ‘wajib’ dikunjunginya sebagai ‘check point’. Argh...pertama kali mendengar hukuman itu, dia tersenyum kerana hukuman yang diberikan oleh Hani itu tidaklah seteruk mana. Siapa yang tidak mahu melancong ke Eropah?
Adakah Hani demam ketika memintanya ke sana? Dia dengan bangga dan yakin akan berjaya mengharungi sepuluh hari itu dengan gembira. Oleh kerana ketika ini, cuti semester baru bermula, jadi tidak menjadi kesalahan untuk dia bercuti lama. Dan...semenjak dua hari yang lalu, dia berada di bumi Sepanyol ini. Dia sudah mula terasa azabnya. Sebelum datang ke mari dia sudah membaca serba sedikit mengenai negara itu. Dia tahu tentang rakyat Sepanyol yang rata-ratanya tidak boleh berbahasa inggeris. Dia cuba mempersiapkan diri dengan mempelajari bahasa itu secara asas. Malah kamus merupakan nyawanya sekarang.
Tetapi, tidak seperti yang disangka, pengetahuan yang hanya secara asas itu rupanya tidak banyak membantu. Baru mengucapkan perkataan Hola? Usted habla ingles sudah membuatkan beberapa orang yang ditanya menggeleng laju. Mereka seperti takut dan cemas apabila ditanya adakah mereka boleh berbahasa inggeris. Malah ada yang terus bercakap dengan laju macamlah bahasa Sepanyol itu bahasa ibundanya juga. Memikirkan perkara itu, Amie merasakan lebih baik dia bergantung pada dirinya sendiri.
Dia kembali membelek peta di tangan. Untuk pagi ini dia akan ke Al-Hambra dahulu sebelum singgah di Al-Baycin untuk melihat surau kecil di kawasan kejiranan orang-orang Arab yang masih ada hingga kini. Menurut kakitangan yang bekerja di bahagian Informacion di Stesen bas Granada, dia perlu mengambil bas mini untuk membawanya ke destinasi yang ingin dituju. Sudah lebih sepuluh minit dia menunggu, bayang bas mini langsung tidak kelihatan. Amie mula meragui apa yang dikatakan oleh kakitangan tersebut. Namun bagaikan seperti mendengar isihatinya, sebuah bas mini berhenti betul-betul di hadapannya.
Este autobus se va alhambra?” Terkial-kial Amie membaca ayat yang sudah siap ditulisnya. Hanya untuk bertanyakan adakah bas itu menuju ke Alhambra, dia menghabiskan masa hampir setengah jam.
Si...si.” jawab pemandu bas mini itu.
Amie menyebut perkataan Al-Hambra dan pemandu bas itu mengangguk. Tanpa banyak soal dia membayar tambang yang dikenakan. Dalam hati dia merungut juga. Mahal juga tambangnya. Walaupun mungkin murah dengan kadar euro namun kalau dibandingkan dengan duit ringgit mahu demam memikirkan berapa banyak duit yang terpaksa dihabiskan untuk merelisasikan hukuman yang dikenakan Hani terhadapnya. Mujur ada juga yang sudi menaja perjalanannya ke mari.




BAB 15

Tidak sampai sepuluh minit melalui jalan yang sempit dan muat-muat untuk sebuah kenderaaan mini dia tiba di tempat yang dituju. Amie menghirup udara segar Alhambra. Dadanya terasa kembang serta merta. Tidak menyangka pertaruhan ini akan membawanya menjejaki kesan peninggalan Islam di Bumi Sepanyol ini. Sebaik turun, dia tidak membuang masa untuk beratur. Walaupun jam belum menunjukkan pukul lapan namun pelawat yang beratur sudah seperti ular kena palu sahaja lagaknya. Panjang dan berlekok-lekok.
Semasa beratur dia mendengar pengumuman yang dibuat dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Sepanyol. Arab dan Peranchis. Hmmm...satu bahasa pun dia tidak faham. Amie sedikit kesal dengan kekurangan yang dimiliki. Dalam beratur Amie merakam gambarnya sendiri. Dia turut membuat rakaman video. Biarlah orang memandangnya dengan pelik kerana bercakap sorang-sorang dengan bahasa yang tidak mereka fahami. Dia peduli apa asalkan keindahan Al Hambra ini dapat dirakam dan diabadikan untuk dijadikan kenangan. Wah pasti Hani jeles dengan aku lepas ni. Amie berbisik nakal.
Setengah jam kemudian Amie mula membuat senaman ringan. Kakinya sudah lenguh berbaris namun barisan tetap juga panjang. Di saat ini alangkah menyesalnya dia kerana tidak membeli tiket secara online. Harap-harap bila tiba gilirannya nanti janganlah jurujual memberitahu tiket sudah habis. Kalau macam tu dia memang betul-betul akan meraung.
Amie ketawa kecil. Pasangan yang beratur di depannya menoleh. Dia hanya tersenyum sambil mengangguk. Sudah...mesti mereka memikirkan bahawa dia sudah tidak siuman. Dalam matanya meliar dan senyuman yang masih dibibir matanya bertembung dengan seseorang. Serta merta dahinya berkerut. Mengapa dia merasakan bahawa dia pernah melihat lelaki ini. Tapi di mana ya?
Lelaki itu berterusan memandang...bukan, merenungnya. Lama sehingga Amie sendiri menjadi tidak keruan. Dia cuba memandang ke arah lain. Perkataan Al Hambra yang ditulis dengan tulisan arab itu di eja perlahan. Alif Lam Ha mim ra Alif. Ayat itu diulangnya berkali-kali namun matanya tetap terarah pada lelaki yang senang enak bersarapan.
 Dari jauh Amie melihat asap keluar dari minuman dalam bekas styrofoamnya. Tanpa sedar Amie menjilat bibir. Sedapnya air yang lelaki itu minum. Air apalah agaknya? Dahaganya dia. Semenjak semalam langsung setitis air tidak masuk kemulutnya. Bodoh betul aku ni. Kutuk Amie memarahi diri sendiri. Semasa menunggu bas tadi, dia siap berhenti di depan kedai runcit lagi namun tidak terfikir untuk membeli bekalan untuk mengisi perut.
Perutnya yang berbunyi pelbagai irama semakin membuatnya gelisah. Tidak mengapa. Selepas dia membeli tiket masuk dia akan menyerbu kedai makanan tu. Darah menyerbu ke wajahnya apabila tiba-tiba lelaki itu mengangkat bekas minuman ke arahnya. Senyuman yang menghiasi wajah lelaki itu cukup memberitahu bahawa lelaki itu tahu apa yang bermain di fikirannya. Hantu betul. Amie segera melarikan wajah.
Sepuluh minit kemudian tiket masuk sudah berada di tangan. Amie melihat jam. Masih ada lima belas minit sebelum pintu gate dibuka. Amie bertambah girang. Hasratnya untuk mengalas perut tercapai juga. Tanpa membuang masa dia terus ke satu-satunya kedai yang menjual sarapan pagi dan beberapa barangan cenderamata seperti poskad, buku-buku berkenaan Al Hambra, keychain dan frigde magnet.
Dia tidak melepaskan peluang untuk membelek kerana dia yakin dia tidak akan dapat semua ini di tempat lain. Lagipun Hani sudah memberi pesanan bahawa setiap tempat yang dia pergi dia harus membeli fridge magnet atau keychain sebagai kenang-kenangan. Malah Hani turut membekalkan wang sebanyak RM200.00 semata-mata untuk membeli benda itu.
Sampai di bahagian makanan Amie teragak-agak. Dia cuak dengan makanan yang ada dan dia sendiri tidak dapat menjamin sama ada makanan yang dijual adalah halal ataupun tidak. Jadi, pilihannya semakin kecil. Apa sahaja roti atau croissant yang berisi daging dan keju akan ditolak.
“ Toma esta tortilla, esta deliciosa, podemos comer porque esta hecha de huevos y pan...” Amie segera berpaling apabila satu suara menganggu pemerhatian terhadap makanan yang berjebah di hadapannya. Dan dia terkejut apabila melihat lelaki yang memerhatikannya sebentar tadi sudah pun berasa di sisi.
Perdon?” Dia bersuara dan kerana hanya itulah antara ayat Sepanyol yang dia tahu dan hafal.
            “  Saya kata ambil je tortilla. Sedap jugak. Kita boleh makan sebab kandungannya hanya  roti dan telur saja.” Sekali lagi Amie melopong. Lelaki ini bercakap bahasa melayu dengannya. Lelaki ini. Dia tidak salah mendengarkah?
            “ Ish...tutuplah mulut tu. Lalat masuk kang.” usik lelaki yang sudah makin ketara lesung pipit di pipinya. Amie serta merta menutup mulut. Malunya sudah lengkap kini.
            “ Awak orang melayu kan? Awak yang naik bas dengan saya semalam kan? Dan saya rasa awak jugak perempuan yang tersungkur dekat Metro Madrid semalam kan?” Bertubi-tubi soalan yang dilemparkan sehingga Amie terasa mahu pengsan apabila soalan terakhir itu didengarnya. Ya ALLAH...malunya aku. Macam mana dia boleh ternampak pula apa yang berlaku pada aku? Amie cuba berlagak selamba. Seolah-olah kejadian yang berlaku bukanlah masalah yang besar baginya.
            “ Ya kenapa? Lutut awak yang sakit ke?” balasnya dengan senyuman penuh kemesraaan yang dibuat-buat. Lelaki ini tidak boleh dilayan. Kalau dilayan nampaknya akan menjadi-jadi. Dari dia sakit jiwa melayani lelaki yang tidak dikenali ini lebih baik dia beredar. Masa masuk sudah hampir tiba. Dan dia dapat melihat beberapa orang pelancong sudah dibenarkan masuk lebih awal. Lebih baik dia ke sana kalau dia tidak mahu melepaskan peluang yang sama. 
            “ Eh...marah ke? Jangan macam tu. Kita jalan sama-sama eh?” Kejar Jad mendapatkan Amie yang sudah laju langkahnya. Sementera Amie buat-buat pekak. Malas dia hendak melayani kelakuan lelaki yang baginya seperti budak tidak cukup umur itu.
            “ Berdua kan lebih baik. Saya boleh ambil gambar awak. Awak boleh ambil gambar saya. Cik adik, kita kan orang asing di bumi asing ni. Apa salahnya kita bekerjasama kan. Tak baik sombong-sombong ni.” Masih tiada jawapan. Amie ralit menangkap gambar pemandangan indah di hadapan mata. Taman indah yang dihiasi dengan pelbagai jenis bunga dengan pelbagai warna amat menarik perhatiannya. Dan sepanjang laluan mereka, pokok yang telah dihias dan direka khas menyelusuri sepanjang laluan mereka.
            “ Hmmm...silence treatment.”  Langkah Amie terhenti dan menoleh. Lelaki yang sedia mengekorinya dari tadi masih ada rupanya. Kerana keasyikan dengan persekitaran, dia benar-benar terlupa dengan kehadiran lelaki ini. Jad sudah tersenyum-senyum. Dia tahu dia sedang mencabar kemarahan gadis ini. Ah...rasakan. sampai bila dia enggan bercakap dengan aku. Fikir Jad nakal.
            “ Encik...?”
            “ Jad Imran. Panggil saja Jad. Tak payah susah-susah panggil saya encik. Tak siapa kisah dengan protokol-protokol ni. Dan sebelum awak tanya, makna nama saya tu bersungguh-sungguh.” Jad menghulurkan air minumannya namun Amie berterusan memandang dengan pandangan yang hampir membunuh.
            “ En. Jad Imran,” sambut Amie sambil menekan sedikit perkataan encik itu.
            “ Saya lebih suka berjalan sendiri kalau awak tak kisah.” tegas Amie sambil memberikan senyuman manis yang kemudiannya diganti dengan jelingan yang amat tajam.
            “ Kalau saya kata saya kisah. Awak nak buat apa?” Jad masih tidak mahu mengalah. Malah semakin galak pula dia mengusik gadis yang sudah kelihatan merah padam mukanya. Dan tanpa berkata apa-apa gadis itu terus membelakanginya. Sekelip mata sahaja dia melihat gadis itu kembali khusyuk dengan rakamannya. Jad diam memerhatikan seketika. Jam di tangan dikerling sekilas. Ah...sudah sampai masanya.
Dia merapati gadis yang masih tidak diketahui namanya. Bahu gadis itu dicuit perlahan. Dan dia hampir ketawa melihat gadis itu hampir melompat kerana terkejut. Sekali lagi mata galak itu menjelingnya tajam. Jad sengaja buat-buat tidak nampak. Dia mengetuk lembut permukaan kaca jamnya.
            “ Kalau awak nak masuk dalam Palacio Nazaries, baik awak cepat. Nanti kalau giliran tamat, awak tak boleh masuk lagi dah.” Amie hanya mencebir. Namun dia tidak bergerak seperti yang diminta oleh Jad. Sukahati akulah nak masuk pukul berapa. Yang engkau sibuk-sibuk itu pasal apa? Dah aku memang sudah berada dalam ni. Hendak masuk mana lagi? balas Amie dalam hati.
            “ Esta bien, no me digas despues que no te adverti.” (Okay...jangan kata saya tak bagi amaran). Jad mengalah. Malas dia bercakap dengan orang sombong yang berlagak pandai ni. Gasaklah engkau. Nanti jangan putih masa sudahlah. Tanpa membuang masa dia berlalu dari situ. Kalau hendak menunggu gadis ini mengikutnya alamat dia sendiri pula yang akan putih mata.
            Mata Amie mengekori langkah lelaki yang bernama Jad itu. Lama dia memandang dan baru dia teringat. Ya...lelaki inilah yang terlanggar bahunya di kedai semasa membeli air di stesen bas di Madrid semalam. Ya...lelaki inilah yang dikatanya sombong nak mampus itu. Baru dia teringat. Huh...perangai lelaki ini memang menjengkelkan.
Memang kena dengan namanya. Bersungguh-sungguh konon. Iyalah bersungguh-sungguh menyakitkan hati aku. Kutuk Amie dengan hati yang masih membara. Tanpa membiarkan lelaki itu berterusan menganggu fikirannya, dia terus merakam pelbagai gambar. Setelah berpuas hati mendapat gambar yang diinginkan Amie mula melangkah menuju destinasi yang lain.



BAB 16

            Kali ini Bano de La Mezquita yang menjadi pilihan. Bangunan ini dikatakan bilik mandi dan tempat mengambil air sembahyang bagi masyarakat Islam. Sekali lagi lensa kameranya merakam segala sudut dan ruang. Tidak banyak masa yang diperuntukkan sebelum dia tiba di Palacio Nazaries. Amie melihat ramai pelancong yang sedang beratur. Merasakan ada sesuatu yang menarik yang menyebabkan keadaan itu dia turut sama beratur.
Dalam pada itu dia turut tercari-cari di mana bangunan yang menempatkan seni pembinaan Islam itu. Tiba-tiba ada seorang perempuan datang menghampiri mereka yang sedang beratur. Amie segera mengeluarkan tiketnya kerana melihat itu yang diminta oleh pemeriksa tiket itu pada orang di hadapannya.
            Perempuan berbangsa Sepanyol itu memeriksa tiketnya dan menyuruh Amie keluar dari barisan. Dengan pen ditangan, pemeriksa itu membulatkan masa masuk yang terdapat di tiket milik Amie. Tertera pukul sepuluh dan ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 10.50. Amie melopong. Dia tidak memahami langsung apa yang dikatakan oleh pemeriksa itu. Dia cuba merayu namun ketegasan pemeriksa itu tidak dapat dilenturkan. Walaupun keberatan Amie tetap juga keluar barisan.
            Tanpa membuang masa dia mencari kaunter informacion yang terletak berhampiran kawasan itu. Seperti yang diduga, perempuan yang bertugas di kaunter itu juga tidak boleh berbahasa Inggeris. Bila Amie bertanya dia menjawab dalam bahasa ibundanya. Amie mula terasa bengang. Adakah setiap rakyat Sepanyol ini tidak pandai berbahasa Inggeris serta mempunyai tanggapan bahawa setiap orang yang datang ke negara mereka ini semuanya boleh berbahasa Sepanyol?
            Amie meneliti tiketnya. Rupa-rupanya ada arahan di belakang tiket tersebut. Amie menepuk dahi. Patutlah dia disuruh keluar barisan. Dia sendiri cuai. Kenapalah dia tidak membaca terlebih dahulu. Sudah jelas arahan yang diberikan dalam bahasa Inggeris itu meminta pelawat tidak lewat dari masa yang tertera untuk memasuki bangunan Palacio Nazaries.
Tiba-tiba dia teringat kembali kata-kata Jad. Lelaki itu turut mengesanya supaya cepat. Jad tahu apa yang akan berlaku sebab itu dia mengajaknya pergi sekali. Arghhh...kalau tidak kerana dia...tidaklah aku jadi kalut begini. Amie menyalahkan Jad pula. Sesungguhnya dia berasa amat hampa. Hilang moodnya untuk berjalan-jalan di Al hambra. Tujuan kedatangannya adalah untuk melihat tinggalan Islam itu namun satu-satunya keinginannya itu dirampas pula. Permandangan indah di hadapannya dirasakan sudah tidak menarik. Bunga-bunga mekar dan indah sudah tidak berseri lagi. Amie menahan diri dari menangis. Dia benar-benar kecewa.
            Dari jauh Jad memerhatikan Amie duduk termenung. Begitu jauh menungannya sehingga tidak sedar dengan apa yang berlaku disekeliling. Sudah setengah jam dia duduk memerhati namun Amie tiada tanda-tanda untuk beredar dari situ. Dia serba salah. Adakah patut dia menghampiri Amie yang sudah tentunya tidak akan menyukai kedatangannya? Namun untuk membiarkan Amie terus bersedih tidak sampai hati pula. Dalam berkira-kira perlahan kakinya mula melangkah.
Dia seperti dapat mengagak apa yang berlaku. Ini mesti kes terlepas masa ni. Hendak ketawa pula mengenangkan kedegilan Amie namun kalau dia berbuat demikian di hadapan Amie mahu sahaja matanya lebam ditumbuk. Orang yang sedang marah sanggup melakukan apa sahaja asalkan hatinya puas.
Amie masih melayani perasaan hampa dan langsung tidak menyedari dia semakin dihampiri seseorang. Tanpa menunggu dipelawa Jad terus menghenyakkan tubuhnya di sebelah gadis itu. Dia diam tanpa bersuara. Menunggu dan terus menunggu gadis itu menenangkan perasaan dan bersedia untuk berbual dengannya. Lama kelamaan dia melihat gadis itu mengangkat wajah dan pandangan mereka bertemu. Untuk seketika dia melihat gadis itu seperti keliru sebelum terkejut dengan kehadirannya di situ.
            “ Berapa lama awak ada di sini?” soal Amie dengan suara yang serak. Jad hanya mengangkat kening memberitahu bahawa dia sudah berada di situ agak lama. Mendengar itu Amie membetulkan duduknya. Mungkin niat lelaki itu mahu mempersendanya.
            “ Kalau awak nak ketawakan saya. Ketawalah. Saya ni memang bodohkan?” kutuk Amie pada diri sendiri. Dia tahu kenyataan itu. Lalu tidak perlulah Jad datang menambah luka yang ada.
“ Emmm...sikit-sikit adalah.” balas Jad sambil ketawa. Sepantas kilat Amie memandangnya. Melihat riak muka Jad ketika itu akhirnya turut mengundang senyum Amie.
“ Nama awak siapa ya?” Jad mula mengorek maklumat. Tidak adillah hanya gadis ini sahaja yang tahu namanya. Lagipun bagaimana hubungan mereka akan berkembang jikalau nama pun masih menjadi rahsia. Hubungan. Jad mahu tergelak mendengar ayatnya sendiri. Mereka baru sahaja bertemu, masakan mahu bercakap tentang hubungan? Wajah suram insan di sebelah dikerling sesaat. Tanpa sedar senyuman misteri terbit dari bibirnya.
“ Amie. Amie Najla’.” jawab Amie yang gayanya seperti gaya kebiasaan James Bond memperkenalkan diri. Sekali lagi mereka tersenyum.
“ Maaflah pasal tadi. Selalunya saya tak bodoh sombong macam tu.” sambung Amie mengenangkan kelakuannya pagi tadi.
“ Awak ada dengar saya kompelin ke?”
Apabila Jad mengajaknya bergerak ke Generalife Garden Amie lantas bersetuju. Malas dia mahu melayani rasa terkilannya lagi. Kalau diingat-ingatkan pun buat sakit jiwa sahaja. Dia hanya membiarkan sahaja apabila tiba-tiba Jad mengambil kamera dari tangannya. Sangkanya Jad mahu meminjam untuk mengambil gambar namun apabila wajahnya yang menjadi sasaran lensa Amie berasa cuak. Berani sungguh Jad Imran ni. Komennya di dalam hati.
“ Biar saya ambil gambar untuk awak. Balik Malaysia nanti boleh buat kenangan.” Hanya itu saja yang dijawab Jad apabila berkali-kali dia meminta agar dipulangkan kameranya.
“ Saya ada ambil gambar dalam Palacio Nazaries tu. Kalau awak nak awak bagi emel nanti saya emelkan pada awak.” saranan Jad itu disambut dengan gelengan. Dia tidak akan puas dengan melihat gambar sahaja. Kalau mahu gambar tidak perlu menunggu emel dari Jad, dia boleh membeli buku-buku yang banyak terjual di sekitar Alhambra ini.
Untuk Palacio Nazaries, tidak berbaloi kalau tidak melihat dengan mata kepala sendiri. Walaupun terpaksa membuang 12 euro lagi tidak mengapa asalkan dia dapat kembali lagi ke sini. Tetapi bilakah masa yang sesuai kerana esok dia akan bertolak ke Cordoba pula? Dan selepas itu balik semula ke Madrid untuk meneruskan perjalanan ke Barcelona pula. Mahu tidak mahu dia hanya ada hari ini sahaja. Langkah Jad terhenti melihat wajah Amie kembali suram.
“ Jangan sedih Amie. Kalau awak nak, saya boleh temankan awak datang malam ni.” cadang Jad seolah-olah dapat membaca apa yang sedang berkecamuk di fikiran Amie. 
Malam ini. Malam ini. Amie berfikir seketika. Malam ini sememangnya dia tiada agenda untuk ke mana-mana. Cadangnya hanya mahu berjalan-jalan di sekitar hostal penginapannya. Tapi beranikah dia keluar berdua bersama-sama dengan Jad? Dia belum mengenali lelaki ini dengan lebih mendalam. Yang pasti dia tidak tahu sama ada Jad benar-benar seorang lelaki yang baik. Wajarkah dia meletakkan kepercayaaan terhadap Jad?
“ Boleh ke saya percayakan awak?” akhirnya pertanyaan itu terluah juga. Jad mengangkat bahu. Terpulanglah kepada Amie sama ada mahu mempercayainya ataupun tidak. Dalam perkara ini dia tidak boleh memaksa Amie untuk menuruti cadangannya.
“ Percaya itu satu kuasa Amie. Sama ada awak percaya atau tidak awak yang berhak menentukannya.”
“ Toma esta opurtunidad, confia en mi Amie” sambung Jad lagi dalam bahasa sepanyol,  bersungguh-sungguh meminta Amie mengambil peluang itu dan mempercayainya sepenuh hati. Tanpa sedar Amie mengangguk. Walau sikit pun dia tak faham apa yang dikatakan namun dia yakin Jad mahu dirinya diberi sepenuh kepercayaan. Satu peluang. Mungkin itu yang Jad maksudkan. Memang benar dia mengambil risiko malam ini namun dia yakin kalau benarlah naluri yang dirasanya ketika ini Jad sememangnya lelaki yang baik. Jad tidak akan mengapa-apakannya.




Malam itu dan hari-hari yang seterusnya masanya banyak dihabiskan bersama Jad. Kebetulan mereka menuju ke Cordoba dengan menaiki bas yang sama. Dia tidak tahu kenapa dia begitu senang untuk bercerita dengan Jad. Sekali ditanya laju sahaja bibirnya mahu bercerita. Entahlah...dia amat menyenangi Jad. Bersahabat dengan lelaki itu membuatkan dia berasa seperti seorang wanita yang amat istimewa. Tidak perlu pada pandangan orang lain. Namun cukuplah pada pandangan Jad seorang.
Ah! Amie. Kau tidak boleh berfikir seperti itu. Engkau tidak berhak. Lupakah engkau dengan apa yang berlaku? Kau tidak berhak untuk menipunya begini. Sudah beberapa hari berlalu kenapa kau masih merahsiakan perkara itu padanya? Adakah kau memang sengaja mahu melukakan hatinya?
Tidak! Tidak. Bukan itu niat aku. Aku tidak bermaksud untuk melukakan hatinya. Aku tidak berniat untuk menipu Jad. Aku hanya bersahabat dengannya. Tiada apa-apa ikatan antara kami. Malah Jad tidak mempunyai perasaan terhadap aku. Jadi tidak salah kalau aku tidak memberitahunya.
Adakah kau yakin bahawa Jad benar-benar tidak menyimpan perasaan terhadap kau? Segala perhatian, layanan serta senyuman yang dilemparkan, adakah kau yakin Jad tidak berasa apa-apa? Ya aku yakin. Hubungan kami hanya mesra sebagai seorang kawan sahaja. Hanya aku dan dia sahaja dari negara yang sama di bumi asing ini. Secara kebetulan perjalanan kami berdua sama destinasinya. Adakah salah aku kalau berkawan dengannya?
            Amie buntu dengan perasaannya sendiri. Wajarkah dia mempunyai rasa ‘itu’ ketika bersama-sama Jad? Dia tahu tidak seharusnya dia berbuat begitu kerana keadaan akan menjadi lebih sulit lagi. Dia seharusnya berterus-terang dahulu. Dia seharusnya bercerita perkara yang sebenarnya daripada menyemai perasaan yang sewajarnya tidak boleh dibiarkan semakin bercambah mekar.
Esok...ya. Esok aku akan berterus-terang dengannya. Aku akan menceritakan segala-galanya. Setiap yang kita lakukan biarlah jujur kerana kejujuran itu telalu penting dalam sebuah kehidupan. Tanpa kejujuran hidup akan sentiasa menjadi mainan orang. Amie memasang tekad. Mulai esok dia akan memberitahu segala-galanya. Dia tidak akan berselindung lagi.
            “ Suprise...”  Satu suara menegur sambil menutup kedua belah matanya. Amie kaku dan pucat. Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Suara yang menegurnya tadi ketawa riang kerana menyangka telah berjaya membuatnya terkejut. Amie menurunkan tangan yang sedang menutup matanya namun dia tidak berpaling. Tidak berani berpaling.  Dia tahu siapa itu. Tidak perlu dilihat kerana dia tahu benar siapa empunya suara itu. Dan apa yang lebih meremukkan hatinya apabila Jad ada disitu menyaksikan apa yang berlaku sebentar tadi. Dia dapat melihat wajah Jad yang seakan tidak percaya dengan apa yang diihat. Amie hanya pasrah. Luka rawan hatinya semakin memuncak.

No comments:

Post a Comment