Tuesday, January 15, 2013

RUD 6,7,8


BAB 6

                        “ Abang, kak Hani datang.” Dengan perlahan Intan mengejutkan Jad dari lamunannya yang panjang. Dia mengeluh perlahan apabila melihat Jad sedikit pun tidak memberi reaksi terhadap kata-katanya. Apabila sudah lima kali memberitahu akhirnya dia sendiri berasa bosan. Dengan rasa mendongkol marah dia keluar dari bilik itu. Dia segera menghampiri Hani yang setia menanti di ruang tamu.
            “ Entahlah kak, abang tu. Intan dah cakap berkali-kali kata akak nak jumpa tapi diam je.” Cepat-cepat Intan menerangkan apabila dapat membaca pertanyaan di wajah Hani.
            “ Dia kat mana?”
            “ Berkurung dalam bilik tu. Dah seminggu macam tu. Tak bercakap dengan sesiapa. Kalau akak nak cuba, pergilah. Intan dah give up.” balas Intan sambil terus menyambung pembacaaan yang terganggu sebentar tadi. Novel bertajuk Tarikh Luput Cinta karya Lynn Dayana benar-benar membuatkannya teruja. Dia tidak suka apabila pembacaanya terganggu.
            “ Hah yelah. Biar akak cuba pulak.” sahut Hani sambil berlalu pantas ke bilik Jad. Dia memanjat dua anak tangga sekaligus seakan tidak sabar untuk bertemu insan yang dicari. Dia mengetuk pintu sedikit dan terus membukanya tanpa menunggu keizinan dari penghuni bilik tersebut.
            “ Abang tak nak jumpa sesiapa Intan.” terang Jad tanpa menoleh melihat siapa yang berada di belakangnya.
            Dah terlambat. Aku dah sampai.” Jad berpaling ke belakang. Terkejut melihat Hani di dalam biliknya. Dia diam memerhatikan Hani merenungnya dengan perasaan marah. Dia tahu, Hani tidak akan berganjak dari situ sekiranya dia menyuruhnya keluar. Tidak mahu mencetuskan suasana kurang harmoni antara mereka, dia hanya membiarkan sahaja.
            “ Kau nak apa Hani?” soalnya malas. Hani hanya ketawa kecil mendengar pertanyaannya. Bibir nipis itu menghulurkan senyuman sinis.
            “ Kau tahu kenapa aku ke sini Jad.”  
            “ Aku tak boleh lakukan apa yang kau nak. Aku tak boleh.” Jad terus sahaja menolak tanpa bertanyakan apa tujuan kedatangan tetamu yang dia yakin akan datang ke rumah bertemu dengannya. Cuma masanya sahaja dia tidak dapat menjangka.
            “ Walaupun untuk Amie, kau masih enggan? Manusia apa kau ni Jad? Ya ALLAH, kau pernah separuh mati cintakan dia. Takkan sedikit perasaan pun dah tiada untuk dia? Aku tak percaya kau boleh biarkan Amie macam tu saja. Tolonglah Jad. Aku takkan suruh kalau benda tak penting. Kau kena tolong Amie.” rayu Hani sambil mengekori langkah Jad ke balkoni.
            “ Dia dah sedar?” soal Jad perlahan. Sepanjang tempoh itu hanya sekali sahaja Amie sedarkan diri. Itu pun hanya Dr. Ranjit yang ada ketika itu. Selepas itu Amie kembali tidak sedarkan diri. Mereka langsung tidak berpeluang untuk melihat Amie dan mendapat kepastian sama ada Amie masih mengenali mereka ataupun tidak. Dia tahu mengapa Hani datang berjumpanya.
Semenjak meninggalkan Amie di hospital lebih seminggu yang lalu, dia tidak lagi datang melawat. Sudah puas dia menyakinkan diri sendiri bahawa dia boleh teruskan hidupnya kembali seperti biasa. Dia sudah boleh menarik nafas lega. Amie tidak apa-apa. Walaupun mungkin Amie hilang ingatan, yang penting dia selamat. Tetapi ternyata tindakannya itu membuatkan Hani tidak puas hati.
Untuk apa dia menunggu di tepi katil sekiranya Amie masih belum sedar? Dan untuk apa jika Amie tidak akan mengenalinya lagi? Apa yang lebih penting, dia mempunyai alasan yang lebih kuat untuk tidak mendekatkan diri dengan Amie lagi. Dan Amie juga, pasti tidak mahu dia berada di sisi sekiranya ingatannya kembali pulih satu hari nanti.
            “ Belum lagi, tapi doktor cakap mungkin dia akan bangun pada bila-bila masa. Dalam seminggu ni dia dah tunjukkan perkembangan yang lebih positif. Jad, kau mesti berada di sisi Amie masa dia sedar nanti. Tolonglah jangan tinggalkan dia macam ni saja. Aku tahu...dia tak ingat kita lagi, tapi sekurang-kurangnya dia tahu ada orang yang ambil berat tentang dirinya. Ada orang yang sayangkan dia lagi. Tolonglah. Aku tahu kau tak sampai hatikan?” pujuk Hani tidak mahu berputus asa. Dia tidak percaya Jad akan angkat kaki begitu sahaja.
            “ A..aku tak boleh.” Hani terlopong. Begitu mudah sekali Jad menyatakan keengganannya. Serta merta perasaan marah menghantui diri. Puas dia memujuk, merayu tapi nampaknya Jad memang tidak kisah lagi. Kenapa keras benar jiwa lelaki itu? Kalau bukan kerana Amie sahabatnya dunia akhirat, dia tidak akan mengemis memujuk rayu belas kasihan lelaki ini.
            “ Kenapa tak boleh? Apa yang menghalang kau sekarang ni”? Suaranya naik. Hani sudah tidak peduli lagi. Apa nak jadi, jadilah. Yang pastinya, bila dia melangkah keluar dari bilik itu, Jad akan bersamanya. Apa pun yang berlaku dia akan membawa Jad ke hospital hari ini juga.
“Hani...” Jad bersuara perlahan. Renungan matanya tenang. Cuba memberitahu Hani sesuatu.
“ Kenapa Amie pergi?”
“ Apa?” Hani terpinga-pinga. Tidak diketahui di mana puncanya soalan yang diajukan padanya. Jad mengenggam erat kerusi besi yang didudukinya. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia bertanyakan soalan ini. Namun sudah alang-alang perkara itu ditanyakan, dia mahukan jawapan yang jujur daripada Hani.
“ Kenapa Amie tinggalkan aku? Kenapa dia pergi macam tu saja? Aku tahu kau kawan baik dia. Setia kau lebih kepada Amie tapi aku juga kawan kau Hani. Kalau pun Amie sanggup buat begitu pada aku, tapi kau....?” kata-kata Jad terhenti tiba-tiba. Dia bangun menjauhkan diri. Tidak mahu memandang wajah Hani. Tidak mahu mengingati detik hitam itu. Tetapi dia perlu tahu. Dia cuba bertenang sebaik mungkin.
“ Kenapa dia pergi, Hani?” tagih Jad yang tidak jemu-jemu mahu mendapatkan jawapan.
Yang disoal hanya menundukkan wajahnya. Hani tiba-tiba diserang rasa bersalah yang amat sangat. Dia tidak mahu mengakuinya namun kata-kata Jad itu semuanya benar belaka. Dia sahabat kedua-duanya. Ya walaupun benar kesetiaannya lebih kepada Amie namun memang tidak sepatutnya dia membiarkan Jad dalam keadaan itu dahulu.
Tetapi mahukah Jad mempercayai penjelasannya? Sememangnya dia sendiri tidak tahu kenapa tiba-tiba sahaja Amie mengajaknya menyambung pelajaran ke luar negara. Malah Amie sanggup meletakkan jawatan tutor yang sedang disandangnya ketika itu. Amie sanggup melepaskan peluang kerjaya yang lebih besar hanya kerana tidak sanggup menunggu pihak Universiti meluluskan permohonan cuti sabatikalnya. Mujurlah jawatan mereka berstatus kontrak ketika itu. Kalau tidak mahu sahaja Amie dikenakan tindakan tatatertib.
“ Percayakan aku Jad. Aku sendiri tak tahu. Amie tak mahu bercerita apa-apa dengan aku.” Apabila dia melihat Jad seperti mahu membantah kata-katanya Hani terus mengangkat tangan meminta peluang untuk bersuara.
“ Ya...aku kawan baik dia. Semua cerita dalam hidup dia aku tahu. Semuanya. Tapi yang satu ni, kenapa dia tinggalkan kau seminggu sebelum perkahwinan memang aku tak tahu. Amie tak mahu bercakap apa-apa dengan aku Jad. Dia jadi perahsia. Dia jadi pendiam. Entahlah, Amie yang ada sekarang ni bukan seperti Amie yang pernah kau dan aku kenal.” Hani diam seketika untuk menarik nafas.
“ Tolong Amie, Jad. Walaupun marah macam mana sekalipun kau pada dia, aku minta sangat-sangat kau lupakan dulu buat masa ni. Amie tak ada sesiapa Jad. Hanya aku dan kau saja yang dia ada di dunia ni. Aku tak mampu buat semua ni sendirian.”
Jad mengeluh. Bercakap memang mudah tetapi untuk menunaikan segala permintaan Hani terasa amat payah dirasakan. Bukan dia tidak mahu membantu. Tetapi...Ah. Sekali lagi dia mengeluh sebelum berpaling mengadap Hani.
            “ Maaf Hani. Aku tak mampu. Aku tak boleh berpaling lagi. Aku tak boleh berpatah balik dengan keputusan yang telah aku buat. Aku tak boleh tolong Amie kembalikan semua memorinya. Aku minta maaf.”
            “ Ta..tapi kenapa? Aku tak faham. Sebab perempuan itukah? Perempuan yang aku nampak dengan kau minggu lepas? Sebab diakah? Siapa dia Jad?” soal Hani  bertalu-talu namun Jad terus-menerus mendiamkan diri. 



BAB 7

“ Pergilah tengok dia.” Lembut suara Suraya memujuk. Dia tahu semuanya daripada Intan. Intan dengan sukarela bercerita padanya tentang kedatangan Hani tempoh hari. Dia tahu tentang keadaan Amie dan juga rayuan Hani supaya Jad ke hospital. Dalam diam dia rasa bersalah yang amat sangat. Kerana dia, Jad terperangkap begini. Kerana dia, Jad terpaksa memilih jalan yang penuh kelukaan ini.
Bukan dia tidak tahu pengorbanan Jad selama ini. Dengan penuh rasa tanggungjawab, Jad membela dirinya. Menyelamatkan dirinya dari terus terjerumus ke lembah hina. Jad yang memberi kehidupan baru untuknya. Dan untuk memastikan dia berterusan bernafas di muka bumi ini, Jad terpaksa melupakan cintanya. Untuk kebahagiaannya, lelaki itu sedia mengorbankan kegembirannya. Dan perlukah dia mengharapkan lebih daripada itu? Tidak cukupkah pengorbanan lelaki itu selama ini? Suraya tahu sudah tiba masanya dia melepaskan Jad dari tanggungjawab itu.
“ Abang? Abang dengar tak Sue cakap apa ni? Pergilah lawat Amie. Sue tahu dia perlukan abang saat ni. Abang tak boleh selamatka Amie dan lepas tu tinggalkan dia begitu saja.”
“ Dan lepas tu apa?” soal Jad dengan nada yang tertekan. Sememangnya dia tertekan dengan keadaan mereka sekarang. Alangkah bagusnya jika dia dapat menghilangkan diri buat seketika. Biar dia lenyap sehingga keadaan pulih seperti biasa.  Sana sini setiap orang memujuk dan merayunya supaya melawat Amie. Siang malam, pagi petang, nama Amie tidak lekang dari bibir mereka. Dia mahu menjerit, meraung agar semua itu berhenti. Jangan memaksa dia melakukan semua ini lagi. Jangan minta dia untuk berkorban sekali lagi. Dia sudah tidak dapat menerimanya.
“ Hah...cuba cakap dengan abang. Lepas ni apa pula. Lawat Amie. Okay abang akan pergi lawat dia. Lepas tu apa pulak? Tunggu dia sampai dia sembuh. Tolong kembalikan memori dia. Lepas dia ingat apa pulak lepas tu? Tinggalkan dia balik. Macam itukah?” Suara Jad makin lama semakin tinggi.
“ Abang?”
“ Tolong jangan minta abang buat benda ni semua. Mungkin Sue lupa, tapi Amie tak akan minta tolong pada abang lagi. Abang orang terakhir yang dia akan jumpa bila sedar nanti. Tahu tak? Dia benci abang Sue...dia benci abang. Kalau tak dia tak akan putuskan pertunangan kami. Dia tak akan pergi.” Jad menggeleng. Matanya bertemu dengan Suraya. Renungannya ketika itu nampak begitu terdesak. Meminta Suraya memahami keadaannya. Dia mahu Suraya meninggalkannya sendirian untuk mengubati kelukaannya sendiri.
Suraya menyapu air matanya mendengar rintihan lelaki di hadapannya. Dia tahu dia tidak patut memaksa Jad berbuat demikian. Jad sudah cukup terseksa kerana perpisahan mereka dulu, dan wajarkah dia menambah lagi kelukaan itu.
“ Sue tahu abang sedih. Sue mintak maaf banyak-banyak kalau permintaan kami ni membuatkan abang tertekan. Tapi, selain dari Hani, abanglah orang yang paling rapat dengan dia. Abang yang boleh bantu dia. Abang tak boleh biarkan dia macam tu saja. Cuba abang letak diri abang dalam keadaan Amie sekarang ni.
Apa yang abang rasa? Bila bangun nanti, abang tak kenal sesiapa pun. Siapa yang perlu abang percaya? Siapa yang abang harapkan dapat membantu abang? Memang Sue tahu, Amie tinggalkan abang, tapi abang tak boleh lepaskan dia begitu saja. Abang tak boleh tinggalkan Amie. Tidak kali ini.” Jad diam mendengar kata-kata Suraya. Dia cuba memahami satu persatu. Kenapa Suraya beria-ia mahu dia menolong Amie? Tidakkah Suraya berasa apa-apa?”
            Dia cuba meletakkan dirinya di tempat Amie. Kepada siapa yang boleh dia letakkan kepercayaan apabila sedar nanti? Dirinya sudah tidak mengingati apa-apa lagi. Bagaimana kalau orang lain mengambil kesempatan atas kelemahan Amie? Jad benar-benar dalam kebuntuan. Pasti Amie sedang ketakutan sekarang ini. Amie pasti takut memikirkan masa depan yang tidak pasti. Bagaimana dia mampu meneruskan hidup sedangkan dia tahu Amie sedang menderita?
Dia tahu sedikit sebanyak dia juga bertanggungjawab menyebabkan kemalangan itu berlaku. Kalau dia tidak memanggil nama Amie, pasti gadis itu tidak akan terlantar di hospital. Sepertinya, dia yakin Amie juga terganggu dengan pertemuan mereka. Dia dapat melihat dengan jelas bagaimana reaksi Amie sebelum kemalangan itu berlaku. Memikirkan itu, hatinya semakin tewas.
Sekali lagi dia tewas kerana manusia bernama Amie Najla’. Dalam keberatan, dia mengangguk akhirnya. Sama ada keputusannya ini bakal memakan diri sendiri, dia tidak tahu. Segala kemungkinan boleh terjadi jika Amie tidak sembuh dari amnesianya.
            Sejak kemalangan itu berlaku, dia seperti orang yang telah hilang kewarasan fikirannya. Siang malam, pagi petang hanya Amie sahaja yang terbayang dalam ingatan. Melihat Amie terbaring kaku di atas jalan membuatkan dia sendiri hampir putus nyawa. Sungguhpun hubungan mereka telah berakhir, dia tidak pernah mengharapkan sesuatu yang buruk menimpa gadis itu. Dia tidak pernah mengharapkan itu. Syukurlah, Amie selamat. Cuma dia mengharapkan agar Amie bersedia untuk menerima kehadirannya di sana nanti.



BAB 8

Sesuatu berlaku yang membuatkan dia membuka mata pagi itu. Setelah bertarung antara sedar dan tidak, berserta dengan kesakitan yang dialami akhirnya dia berjaya membuka mata. Dengan keadaan yang lemah dia meraba kepalanya yang dirasakan begitu tebal dengan kain balutan. Kesakitan yang dialami tidak terkira, terasa berdenyut-denyut dan menyucuk-nyucuk. Amie memejamkan mata semula. Mahu membiarkan kesakitan itu berkurangan. Biar rasa sakit itu tidak menghantuinya lagi.
Sesekali semasa dalam tidur, dia terlihat pintasan bayangan seseorang. Seorang lelaki. Walaupun wajahnya tidak kelihatan begitu jelas tetapi dia merasakan seolah-olah dia mengenali lelaki itu. Siapa dia? Kenapa kerap sekali dia mendapat bayangan seperti itu? Apa yang dia tahu, di sebalik kesakitan yang dialami, semua itu akan berkurangan apabila bayangan itu menjelma. Dia akan menjadi lebih tenang. Seolah-olah kehadiran lelaki itu adalah penawar kepada lukanya.
Amie tiba-tiba terasa begitu penat. Dia keliru. Bayang-bayang itu benar-benar membuatkannya menjadi semakin sengsara. Apa yang telah berlaku padanya? Adakah dia hidup atau telah mati di saat ini? Di mana dia sekarang? Dia tidak tahu sudah berapa lama dia di dalam keadaan ini. Berapa lama sudah masa bergerak meninggalkannya? Kenapa tidurnya sering kali  dihantui perkara yang bukan-bukan?
Aku masih hidup...aku masih hidup. Kalau tidak, aku pasti tidak akan merasa kesakitan ini. Ya, ALLAH, apa yang berlaku? Kenapa aku jadi begini? Kenapa aku rasa begini keliru? Bantulah aku. Tolonglah sesiapa, bantulah aku. Dalam pada itu wajah itu melintas lagi di hadapannya.
Lelaki itu merenungnya dengan penuh simpati. Senyumannya memberikan harapan. Tiba-tiba dia mahu hidup. Dia mendapat suntikan kekuatan untuk berlawan dengan segala kekeliruan yang bersimpang siur dalam otaknya. Dia mesti hidup...demi lelaki itu dia mesti hidup.    
Jad terjaga dari lena apabila dia terasa Amie cuba bergerak. Serta merta dia melompat bangun dari sofa. Dadanya berdegup kencang. Merapati Amie yang masih terbaring lemah di atas katil. Setelah dua hari dia menunggu, akhirnya Amie menunjukkan kesan positif. Akhirnya Amie sedar juga. Jad mahu bersujud memanjat kesyukuran kepada ALLAH. Dia melihat dengan keajaiban kelopak mata Amie berkelip perlahan.
“ Amie?” Dia memanggil perlahan. Suaranya bergetar menahan perasaan.
“ Amie, saya ni. Saya ada di sini. Kembalilah pada kami. Semua orang menunggu Amie sedar. Kembalilah...” Mata Amie berkelip sekali lagi. Mencari kekuatan untuk sedar kembali. Dia cuba berpaut kepada suara yang tidak jemu-jemu memberi sokongan kepadanya. Suara itu sungguh mendamaikan. Penuh ketenangan. Nafas Jad tersekat dikerongkong apabila tiba-tiba Amie membuka mata. Mata mereka bertaup rapat. Untuk seketika dia menanti dalam penuh debar. Mata Amie masih belum mampu fokus sepenuhnya. Jad tahu kesan morfin yang diberikan masih belum hilang. Amie masih tidak mampu mengenal dirinya.
“ Amie..?” seru Jad perlahan. Bibir Amie bergerak-gerak seperti cuba menyampaikan sesuatu. Tapi tiada suara yang keluar. Yang ada hanyalah bunyi rintihan dan keluhan yang tidak jelas butirnya. Jad segera merapatkan telinganya ke bibir Amie.
“ Ada apa Amie. Beritahu saya. Apa yang Amie nak cakapkan.” pujuknya perlahan.
“ Air...” Jad mendengar permintaan itu. Walaupun terlalu perlahan tetapi dia dapat menangkap apa yang cuba diminta oleh Amie. Tanpa membuang masa dia menuangkan segelas air.
“ Amie, ni airnya. Boleh bangun tak?...saya nak angkat Amie ni okay. Kalau sakit beritahu ya.” Amie tidak mampu bersuara. Dia hanya membiarkan lelaki itu mengangkat tubuhnya dan menyandarkan tubuhnya pada dada lelaki itu. Dia tidak peduli apa-apa sekarang ini asalkan dapat menghilangkan dahaga yang amat dirasakannya ketika ini. Selesai sahaja dia meneguk segelas air, dia berasa penat yang amat sangat. Seolah-olah segala tenaganya disedut keluar sehingga habis kerana bangun sebentar tadi. Tanpa sepatah kata, dia memejamkan matanya kembali. Dadanya turun naik keletihan. Dia tidak mampu berbuat apa-apa lagi.
“ Amie, saya nak panggil doktor ni. Saya nak Amie rehat. Saya akan kembali. Saya janji, saya akan datang lagi.” 






Amie menatap penuh khusyuk wajah lelaki di hadapannya. Lelaki itu juga turut berbuat demikian, memandangnya tanpa berkelip mata. Mungkin lelaki ini menunggunya membuka mulut terlebih dahulu. Amie melihat wajah lelaki yang tadinya nampak begitu pucat dan cemas sebentar tadi sudah semakin tenang. Dia tidak tahu apa yang membuatkan lelaki ini memberikan reaksi sedemikian namun nalurinya kuat menyatakan bahawa lelaki ini mungkin sedikit tenteram apabila melihatnya kembali membuka mata.
“ Amie?” Dia melihat lelaki itu mula membuka mulut. Suaranya kedengaran dalam dan penuh dengan tanda tanya. Mungkin lelaki ini sedikit panik kerana tidak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan reaksinya ketika ini. Tetapi apa yang harus dia lakukan? Bagaimana dia hendak memberikan reaksi sedangkan...
Jad kembali memanggil nama Amie. Kali ini lebih kuat dari tadi. Risau dia dengan kelakuan Amie yang tidak mahu membuka mulut dari tadi.
“ Sia...” Jad semakin rapat. Suara Amie terlalu perlahan sehingga dia sukar untuk mendengarnya.
“ Siapa awak?” Akhirnya Amie mula bersuara. Namun ayat yang diucapkannya benar-benar mengejutkan Jad.
“ Awak panggil saya Amie! Doktor tadi pun panggil saya Amie. Ad..adakah Amie tu nama saya?” Jad tergamam mendengar pertanyaan itu. Sememangnya dia terkejut sekali apabila mengetahui Amie tidak mengenali dirinya. Walaupun sudah menjangkakan perkara ini lebih awal namun apabila mendengar sendiri dari mulut Amie menyebabkan dia sukar mahu mempercayainya. Dia cuba menutup rasa terperanjatnya. Tidak perlulah dia membuatkan Amie panik dengan kelakuannya. Dr. Ranjit sudah memberi amaran bahawa Amie akan mengalami amnesia. Jadi kenapa dia berasa sukar sekali untuk menerima mengenangkan Amie tidak mengingati dirinya lagi?
Mata Amie berterusan memerhatikan segala perlakuan insan di hadapannya. Mengapa semenjak dia bertanyakan soalan lelaki ini berubah menjadi diam? Adakah dalam keadaan tanpa disedari dia telah melukakan hati lelaki ini? Amie keliru. Dia tidak merasakan soalannya itu boleh melukakan namun pandangan redup yang penuh duka itu menceritakan seribu rahsia. Apa yang telah dia lakukan? Dia yakin itulah yang berlaku apabila melihat kesedihan yang sedang menghuni mata redup miliknya. Entah mengapa tiba-tiba sahaja Amie berasa jiwanya turut berduka. Perasaan apakah ini? Tuhan, adalah aku mengenali lelaki ini?
 “ Bertenang dulu Amie. Banyak masa lagi kita boleh bincangkan perkara ini. Saya tak mahu Amie bimbang. Buat masa ni rehatlah dulu.” Jad cuba mengajak fikiran Amie dari membincangkan tentang soalan itu. Dia perlukan masa untuk memikirkan semua ini. Dia perlukan masa untuk mengkaji dan menilai apakah cara yang terbaik untuk membantu Amie. Secara jujur, dia sendiri masih lagi dilanda kebingungan. Segala apa yang berlaku dirasakan terlalu pantas sehingga dia gagal berfikir dengan tenang dan rasional.
Dia tidak boleh bertindak seperti dulu lagi. Kalau dahulu ketika dia masih bergelar tunang kepada Amie, memang wajar dia mengambil alih tanggungjawab itu sementelah Amie anak yatim piatu. Namun kini, setelah apa yang berlaku antara mereka, dia sendiri berasa bimbang. Dia tidak tahu batasan apa yang perlu dilangkahi. Apakah ada insan lain yang lebih berhak ke atas hidup Amie kini? Hani juga tidak pernah menceritakan apa-apa. Adakah itu tandanya Amie masih belum berpunya? Sesungguhnya dia benar-benar buntu. Kalau bukan kerana Amie dan kisah silam mereka sekalipun, dia harus sama memikirkan perasaan Suraya. Dia tidak boleh dibuang dan disisih ke tepi begitu sahaja. Amie adalah masa lalunya sedangkan Suraya adalah masa kini yang perlu diberi perhatian. Dia perlu berlaku adil kepada Suraya.
Suara esakan kecil mengembalikannya ke alam nyata. Jad mengangkat muka. Wajah Amie yang sedaya upaya menahan tangis dipandang dengan perasaan bercampur aduk. Tanpa berlengah, panjang langkahnya menghampiri Amie. Tanpa bersuara dia menghenyakkan tubuh di atas katil. Amie pula seolah-olah tidak menyedari bahawa kini dia tidak lagi bersendirian. Jad mengeluh perlahan. Derita jiwanya mendengar tangisan yang meruntun hati itu. Dengan penuh berhati-hati tangannya menyentuh lembut bahu Amie. Sepantas dia melabuhkan tangan, sepantas itu juga Amie menolak dan menjauhkan diri. Ternyata Amie sendiri terkejut dengan reaksi yang diberikan. Wajahnya kelihatan begitu keliru. Pergerakkannya yang secara kasar dan tiba-tiba itu ternyata memberi kesan kepada tubuhnya apabila pandangannya terasa berpinar-pinar dan kelam.
Jad cuba menyambut tubuh yang mahu rebah itu namun sekali lagi tangannya ditepis dengan kuat. Jad tergamam. Tindakan Amie benar-benar mengejutkannya. Niatnya hanya mahu membantu namun sama sekali dia tidak menyangka tindakannya itu akan disalah erti. Wajah pucat Amie dipandang dengan kerutan di dahi. Mengapa dia melihat Amie seolah-oleh dalam ketakutan? Kenapa dia merasakan Amie takut dengan kehadirannya? Jad semakin bingung. Memikirkan itu yang berlaku menyebabkan dia menjauhkan sedikit jarak antara mereka.
“ Amie, bertenang okay? Saya ni. Jangan takut. Saya bukan nak buat apa-apa pada Amie.” terangnya dengan perlahan sambil menunjukkan ke arah pintu.
“ Saya keluar kejap, nak panggil doktor bolehkan?” Jad mengutarakan soalan. Kalau Amie tidak mahu menerima pertolongannya lebih baik dia meminta pada yang lebih berhak. Lagipun hatinya bimbang melihat wajah Amie yang masih belum hilang pucatnya.
“ Tak apa. Saya boleh tahan.” pantas Amie membantah sekaligus mematikan langkah Jad. Dia melihat Amie sedaya upaya membuktikan yang sememangnya dia tidak apa-apa. Jad semakin serba salah. Sama ada mahu mempercayai kata-kata Amie atau sebaliknya. Kalau hendak diikutkan mahu sahaja dia memanggil Dr. Ranjit namun sebaik sahaja terpandang kedegilan dan tekad pada wajah itu, dia membatalkan hasrat. Dia yakin apa yang hendak dilakukan bakal memburukkan keadaan. Jadi dia akan menunggu tindakan Amie yang selanjutnya. Kalau benar dirinya tidak apa-apa mengapa tangannya menggeletar? Kenapa tubuhnya dibasahi peluh? Jad nampak semua itu namun dia hanya mendiamkan diri. Dia tidak menyoal atau berkata apa-apa, kerana dia tahu soalan seperti itu akan membuatkan Amie semakin jauh daripadanya.
Amie yang mengetahui dirinya diperhatikan cuba menghulurkan senyuman, menjernihkan apa yang baru berlaku sebentar tadi. Dia tidak mahu tindakannya itu membawa kepada isu yang lebih besar. Dia tiada jawapannya kalau itu yang lelaki ini mahu. Kenapa dia betrtindak begitu, dia sendiri tidak mengerti. Apa yang pasti, seperti lelaki ini, dia juga terperanjat dengan tindakannya.



 “ Jenis-jenis amnesia yang paling umum sekali adalah retrogade amnesia, iaitu ketidakmampuan untuk mengingatkan kembali kejadian-kejadian sebelum terjadinya suatu insiden. Manakala anterograde amnesia pula ialah ketidakmampuan untuk mengingati semula kejadian-kejadian setelah terjadinya trauma atau penyakit yang menyebabkan amnesia.” terang Dr. Ranjit sewaktu Jad meminta pandangannya. Setelah yakin melihat Amie sudah tidur dia segera mencari Dr. Ranjit di biliknya. Dia mahu meminta penjelasan tentang apa yang berlaku sebentar tadi. Dan yang paling ingin dia ketahui, kenapa Amie kelihatan takut kepadanya?
“ Proses pembentukan ingatan merupakan proses yang kompleks dan masih belum dapat difahami sepenuhnya. Ingatan atau memori merupakan hasil dari perubahan kimia atau struktur pada penyaluran signal yang terjadi antara satu sel saraf kepada satu sel saraf yang lainnya. Perubahan tersebut mengakibatkan terbentuknya semacam “jalur” perambatan signal. Jalur ini disebut sebagai memory traces. Signal dapat berjalan sepanjang memory traces tersebut dan menuju ke otak.
Pertama sekali, memori disimpan sebagai memori jangka pendek. Memori jangka pendek adalah memori yang bertahan dalam hitungan detik, saat sehinggalah jam. Contoh paling mudah adalah seperti kita mengingati nombor telefon. Memori jangka panjang biasanya bertahan dalam jumlah hari, tahun, bahkan seumur hidup.
Proses perubahan memori jangka pendek dan jangka panjang disebut fasa konsolidasi. Pada proses tersebut, memori jangka pendek mengalami rangsangan berulang-ulang sehingga terjadi perubahan yang lebih permanent pada sel saraf. Proses tersebut terjadi pada bahagian tempura otak yang disebut hipokampus yang merupakan bonjolan melengkung pada lantai ventrikel lateral otak, mengandung arkipalium dengan tiga lapisan sel yang berbeza.
Amnesia retrograde biasanya terjadi setelah insiden yang mengganggu aktiviti listrik otak, misalnya angin ahmar atau bengkak di kepala. Pada saat itu, memori jangka pendek terganggu sehingga orang tersebut tidak dapat mengingat kejadian beberapa jam sebelum insiden tersebut. Trauma yang lebih parah dapat pula mengganggu memori jangka panjang.”
“ Jadi Amie mengalami amnesia retrogade? Sebab tu dia tak kenal saya?” Jad kembali menyoal setelah berhempas pulas memahami penjelasan Dr. Ranjit itu. Soalannya dijawab dengan anggukan sahaja.
“ Berapa lama? Sehari, sebulan, setahun atau selama-lamanya?”
“ Kita berusaha dan berdoa encik Jad. Saya sendiri tidak boleh memberi jawapannya.”


No comments:

Post a Comment