BAB 12
She
knows when I'm lonesome.
She
cried when I'm sad.
She's
up in the good times.
She'
s down in the bad.
Whenever
I'm discouraged.
She
knows just what to do.
But
girl, she doesn't know about you.
How
can I tell her about you?
Girl,
please tell me what to do.
Everything
seems right whenever I'm with you.
So
girl, won't you tell me.
How
to tell her about you?
Jad menutup pemain cd yang sedang memutarkan lagu
nyanyian penyanyi kesukaannya iaitu Lobo. Malam ini dirasakan Lobo seperti
menujukan lagu How Can I Tell Her itu untuknya. Dahulu mendengar lagu
ini berpuluh-puluh malah beratus-ratus kali pun tidak ada apa yang
dirasakannya. Namun seperti lagu itu, dia juga merasa terjerat. Bagaimana
hendak memberitahu Amie tentang Suraya?
Bagaimana dia hendak membuka mulut dan menjelaskan bahawa
ada insan lain dalam hidupnya kini. Mampukah Amie menerima kenyataan bahawa dia
bukanlah perempuan yang teratas dalam hatinya kini. Oh Amie...kenapa mesti aku
yang akan melukai hatimu? Kenapa mesti aku yang membawa berita ini? Kenapa
mesti aku? Jad benar-benar buntu. Lakonan yang disangka akan membantunya
menangani perkara ini rupa-rupanya menjadi semakin sulit.
Dia tidak berfikir panjang apabila berlakon sebagai suami
Amie. Dia tidak mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan. Sebab itu dia
menjadi kelu lidah sebaik sahaja Amie mempersoalkan mengapa dia tidak menunggu
waktu malam di hospital seperti pasangan suami isteri yang lain. Dia akui,
sememangnya dia tidak pernah bersedia dengan soalan seperti itu. lebih-lebih
lagi apabila Amie mula mempersoalkan tentang anak.
Malam yang gelap dirasakan semakin kelam. Sekelam hatinya
ketika itu. Semenjak meninggalkan Amie di hospital petang tadi dia hanya
menguncikan diri di bilik ini. Tidak makan ataupun melakukan apa-apa. Hanya
termenung memikirkan apa yang dilakukan sekiranya pembohongan ini terbongkar
satu hari nanti. Dan selebihnya dia tidak tahu bagaimana untuk memberitahu
Amie. Dan Suraya sendiri pula kenapa begitu baik? Mengapa begitu memahami
keresahan jiwanya ketika ini? Tidak cemburukah Suraya? Tidak marahkah isterinya
itu apabila jelas sekali dia sedang memikirkan wanita lain?
“ Tolong abang Sue. Apa yang perlu abang buat? Macam mana
abang nak cakap pada dia?”
Suraya menghenyakkan tubuhnya di sebelah Jad. Walaupun
seperlahan mana dia berjalan, Jad tetap akan menyedari kehadirannya. Cadangnya
hanya mahu menghantar secawan kopi dan meninggalkan Jad sendirian nampaknya
tidak berhasil. Kalau boleh dia tidak mahu menganggu. Dia tahu fikiran Jad kusut
ketika ini dan dia tidak mahu menambah kekusutan itu lagi. Dia tahu Jad pasti
diserang rasa bersalah yang amat sangat. Dan kehadirannya dalam hidup Jad juga
turut menjadi puncanya. Kalau dia tiada mungkin keadaan pasti tidak sesukar
ini.
“ Jelaskan perkara yang sebenarnya. Terus-terang dengan Amie.
Selagi abang rahsiakan selagi tu fikiran abang tak akan tenang.” sarannya
dengan seikhlas hati. Dia sedar selama ini cinta Jad terhadap Amie begitu
agung. Dia tidak akan dapat bersaing dengan wanita bernama Amie Najla’ itu.
“ Tapi Amie akan kecewa kalau dia tahu. Dia tak akan
dapat terima kenyataan...” rintihnya lagi. Bukan tidak difikirkan kemungkinan
itu. Sudah beratus-ratus kali namun dia yakin situasi itu bukan mudah seperti
yang disangka.
“ Tapi Amie akan lebih kecewa kalau dia tahu abang menipu
dia.” Suraya menyampuk.
“ Bercakap benar lebih baik walaupun kadang kala
kebenaran itu menyakitkan.” Tambahnya lagi sambil meninggalkan Jad sendirian. Kata-kata
itu berterusan menghantuinya sehingga dinihari. Haruskah aku berkata benar? Jad
meraup wajah. Kalau diberi pilihan bukan ini yang dimahunya. Biarlah keadaan
kembali asal seperti dahulu. Di mana hidup ini terasa bahagia di mana-mana.
Seperti mana kali pertama dia bertemu Amie bertahun dahulu. Perkenalan yang
telah melahirkan bibit cinta antara mereka. Dan Jad terus-menerus meladeni perasaannya.
BAB 13
(7 TAHUN DAHULU)
Jad berhenti meneliti peta laluan Metro di tangannya.
Kertas kecil yang dipenuhi laluan Metro yang diasingkan dengan pelbagai warna
cuba difahami sebaik mungkin. Untuk ke stesen bas Mendez Alvaro, dia perlu
menaiki Metro yang mengikuti laluan circular (pusingan) dan mengikuti Anden 6 (laluan
6). Dia memandang keadaan sekelilingnya. Ternyata dia di laluan yang betul. Dia
meletakkan beg galasnya ke lantai. Bahunya sudah sakit-sakit mengendong beg yang
berisi dengan segala macam barang yang diperlukan sepanjang dua minggu dia
berada di Sepanyol ini. Dia mengerling pada jam yang terdapat di stesen Metro
itu. Tren yang seterusnya akan tiba seminit lagi.
Kesempatan yang ada membuatkan dia memerhatikan keadaan
sekeliling. Semenjak tiba dari KL semalam, dia sudah membuat keputusan untuk ke
Andalusia dahulu. Dia akan menjelajah di bahagian selatan negara Sepanyol itu
terlebih dahulu sebelum berjalan di bahagian tengah dan utara pula. Lagipun
sudah tersimpan sekian lama dalam hati untuk menjejaki kota Al-Hambra yang
terkenal di dunia itu. Memang benar, dia sememangnya tidak sabar untuk melihat
rahsia yang terkandung dalam bangunan tinggalan sejarah Islam itu.
Kalau mengikut jarak, dia sepatutnya singgah di Cordoba
terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Granada, Malaga ataupun Ameria.
Ini kerana Cordoba lebih dekat jaraknya daripada Madrid. Namun oleh kerana dia
sudah menempah bilik di Granada terlebih dahulu dan ditambah pula rasa tidak
sabarnya menjejaki Al-Hambra, dia rela walaupun terpaksa berulang alik antara
Madrid, Granada dan Cordoba. Dia yakin segala penat lelah sepanjang perjalanan
ini akan berbaloi.
Bunyi gegaran landasan menandakan tren akan muncul
bila-bila masa sahaja. Dia cepat-cepat mengalas beg, menanti dengan tenang tren
berhenti sebelum membuka pintu. Ketika dia mahu melangkah memasuki tren
tersebut dia terdengar bunyi dentuman. Dia berpaling dan melihat seorang gadis
yang baru sahaja tersungkur menyembah
lantai tangga yang dituruninya. Barang-barang yang dibawa bersama habis
berterabur di atas lantai. Jad menggeleng perlahan. Entah apa yang dikejarnya
dalam kelam kabut itu? Hendak ditolong, tren sudah mula menutup pintunya. Dalam
beberapa saat, bayang gadis yang tersungkur itu lenyap dalam pandangan.
Walaupun jam menunjukkan jam 12 tengah malam namun stesen
bas Mendez Alvaro masih lagi sarat dengan manusia yang berpusu-pusu menuju
haluan masing-masing. Jad tidak ketinggalan. Dia segera menuju ke Anden 20 yang
akan membawanya ke Granada. Walaupun dia masih ada masa setengah jam lagi,
namun dia tidak mahu melengahkan masa. Lebih cepat dia sampai, lebih cepat dia
boleh berehat. Setelah hampir dua puluh empat jam tidak mandi dia sudah mula
rasa keletihan. Apabila sampai, bas Alsa yang akan dinaiki masih belum tiba.
Dia terus menuju ke kedai berdekatan untuk membeli sebotol air mineral.
Bukannya tidak boleh dibeli di dalam vending
machine yang tersedia di kawasan parking bas, tetapi dengan kadar euro yang
sememangnya lebih tinggi, dia terpaksa berjimat cermat.
“ Hola, Agua mineral, grande.” pintanya pada seorang pembantu kedai. Dia menghulurkan
seringit enam puluh sen euro sebelum air mineral botol besar bertukar tangan.
“ Gracias.” balas
perempuan yang agak seksi pakaiannya itu.
“ De nada.” Jad
tersenyum sedikit sebelum meneruskan perjalanan. Di pintu masuk dia hampir
bertembung dengan seseorang. Mujur dia sempat bertindak dan mengelak dari
pertembungan berlaku.
“ Perdon.”
Perlahan saja suara itu meminta maaf. Jad yang sudah terlambat tidak
mengendahkan ucapan maaf tersebut. Tanpa berkata apa-apa dia terus berlalu.
Perkhidmatan awam di Sepanyol ini memang terkenal dengan ketepatan masanya.
Sangat efisien. Kalau dia tidak mahu ketinggalan bas, dia perlu segera beredar
dari situ.
“ Huh! Sombong nak mampus.” Dalam keadaan tergesa-gesa
itu dia sempat mendengar suara yang mengutuknya. Dia tergamam dan segera
berpaling. Di muka pintu kedai itu dia tidak melihat sesiapa pun di sana. Ayat
yang didengari tadi kembali terngiang-ngiang di telinga. Huh! Sombong nak mampus. Hmmm...orang Malaysia ke? Cantik betul
bahasa yang digunakannya. Ah...tak kisahlah. Aku dah lambat ni. desisnya
perlahan sambil berlari-lari anak menuju ke tangga eskelator. Tepat seperti
yang dijangkakan, bas Alsa sudah tiba dan penumpang sudah mula beratur untuk
naik. Jad dengan pantas menyimpan begnya di tempat letak bagasi dan turut sama
beratur.
Perjalanan dari Madrid ke Granada memakan masa selama
lima jam setengah. Jad hanya tidur untuk membuang rasa penatnya dan memulihkan
tenaga. Kalau tiada apa-apa kesulitan sepanjang perjalanan, dia akan tiba di
Granada pada jam lima setengah pagi. Pintu masuk Al-Hambra akan dibuka pada
pukul 9.30 pagi. Dia tidak perlu tergesa-gesa kerana dia sudah membeli tiket
secara tempahan atas talian sebelum tiba ke mari. Dia tahu pelancong akan mula
beratur seawal jam 7 pagi. Adalah lebih mudah untuk menempah melalui internet
daripada terpaksa beratur panjang.
Jad terjaga apabila mendengar suara pemandu kedengaran
melalui interkom. Rehat setengah jam. Lantas jam di tangan dikerlingnya
sekilas. Sudah pukul empat pagi. Dia mengeluh perlahan. Matanya masih terasa
mengantuk, lalu dia membuat keputusan untuk tidak turun dari bas. Dalam lena
itu dia mendengar satu suara sedang berbisik. Mungkin sedang berbual di
telefon. Makin lama kedengarannya semakin jelas. Dia terus memasang telinga
kerana apa yang didengarinya ketika itu amat menarik minatnya.
“ Aku dekat highway
ni. Bas berhenti rehat kejap.” Suara itu diam seketika. Mungkin sedang
mendengar apa yang dikatakan oleh orang yang ditelefonnya. Kemudian suaranya
kedengaran kembali disertai dengan ketawa yang amat perlahan.
“ Aku gamble je
ni. Kalau esok tak ada tiket, aku meraung. Biar satu Al-Hambra dengar suara
aku.” Suara itu ketawa lagi. Mata Jad sudah hilang mengantuknya. Pertamanya dia
mendengar bahasa yang digunakan oleh penuturnya. Dan kedua, rasa terujanya
semakin bertambah mendengar perkataan Al- Hambra. Adakah pemilik suara itu akan
ke destinasi itu juga? Ah...masakan tidak. Untuk apa ke Granada kalau tidak
mahu singgah di Al-Hambra.
Kalau mahu ikutkan
hati, mahu sahaja dia menoleh mencari suara yang sedang rancak berbual itu.
Namun suasana yang gelap gelita itu menyebabkan hasratnya tidak kesampaian.
Hari ini, sudah dua kali dia mendengar bahasa ibundanya dituturkan, sedangkan
pemilik kedua suara itu masih belum dikenal pasti. Tidak mengapa, esok kalau
benar aku akan bertemu juga dengan pemilik suara itu. Tidak payah susah-susah
mahu menunggu di Al-Hambra, bila turun bas nanti aku akan tahu juga. Jad
kembali tersenyum sambil memejamkan matanya kembali.
“ Senor...senor? ya hemos llegado.” Jad
terjaga dari lena yang panjang. Wajah lelaki dalam lingkungan 40-an dan juga
merupakan pemandu bas tersebut dijamah dalam keadan terpisat-pisat. Kesan mengantuk
yang ada serta-merta hilang seperti disambar garuda. Jad bergegas bangun dan
memandang ke belakang. Kosong. Hanya dia dan pemandu itu sahaja yang ada di
atas bas itu. Sebaik sahaja mengucapkan terima kasih dia terus melompat turun
mengambil beg dan cuba mengejar si pemilik suara semalam.
Namun seperti semalam, bayang suara itu entah ke mana.
Tidak meninggalkan sebarang jejak. Jad cuba menutup perasaan hampa. Kenapa dia
terlalu obses dengan pemilik suara itu? Kenapa beria-ia benar dia mahu mencari
dan mengenalinya? Memikirkan tindakannya yang tidak ubah seperti orang angau,
Jad segera mematikan hasratnya. Lebih baik pergi membersihkan diri dari
memikirkan perkara yang bukan-bukan.
BAB 14
Amie meneliti kepala lututnya yang bercalar. Kesan darah
yang sudah kering disapunya dengan tisu. Rasa pedih menjalar ke seluruh
tubuhnya. Entah apa malangnya nasib tersungkur di stesen Metro Madrid semalam.
Dia tahu dia tidak seharusnya terburu-buru mengejar tren kerana dia boleh
sahaja naik tren yang seterusnya. Tetapi dengan beg yang sarat dikedua belah
tangan, dia jadi hilang imbangan ketika menuruni tangga. Lalu terjadilah adegan
yang paling memalukan dalam hidupnya. Bertambah pula dengan keadaan orang yang
begitu ramai turun dari tren, dia sudah tidak tahu mana hendak disorokkan
mukanya. Nasib baik ada sekumpulan gadis berketurunan Arab yang begitu baik
hati membantunya.
Selesai melekatkan
plaster di lutut, dia membuka peta Granada semula. Melihat peta yang berselirat
itu turut sama membuatkan otaknya semakin sakit. Dia mula menyesali tindakannya
yang datang ke Sepanyol seorang diri. Entah apa gilanya dia menerima cabaran
daripada Hani untuk ke sini? Sudahlah tiada satupun perkataan Sepanyol yang
diketahui dalam kamus hidupnya. Fasih dalam bahasa inggeris pun belum tentu
boleh membantu kalau ingin berkunjung ke negara Raul Gonzalez, pemain bola
sepak Real Madrid yang menjadi kegilaannya semenjak dahulu lagi.
Dia teringatkan kembali pertaruhan antara dia dan Hani
beberapa bulan lepas. Siapa yang dapat menyiapkan tesis sarjana terlebih dahulu
berhak memberi hukuman kepada siapa yang menghantar lebih lewat. Mengenangkan
Hani, dia begitu tekun dan berusaha bersungguh-sungguh menyiapkan tesis yang
sudah tertangguh semenjak sekian lama. Hani agak brutal orangnya. Sebab itulah dia takut mahu memikirkan hukuman apa
yang akan diterima sekiranya dialah yang tewas antara mereka berdua.
Pertandingan ini diadakan juga untuk terus memberi
dorongan kepada mereka yang sememangnya liat dalam menyiapkan tesis yang
menjadi keperluan untuk mereka dianugerahkan Ijazah Sarjana. Untuk
menghilangkan gelaran tutor yang dipegang selama dua tahun ini, mereka berdua
terpaksa mengambil ijazah sarjana dan seterusnya doktor falsafah sebelum layak
digelar pensyarah. Arghh...syarat pengambilan kakitangan akademik semakin ketat
di semua Universiti kini.
Kalau tak ada gelaran doktor, jangan harap boleh bergelar
pensyarah. Dan sebagai tutor pula, mereka diberi tempoh masa yang ditetapkan
untuk menghabiskan sarjana. Sekiranya gagal, kemungkinan kontrak mereka dengan
Universiti akan ditamatkan. Oh tidak! Dia tidak boleh membenarkan itu berlaku.
Walau apa pun yang terjadi, setahun setengah akan datang dia harus memulakan
pengajian diperingkat kedoktoran pula. Itu tekad dan azamnya. Dia tidak mahu
sentiasa disoal oleh ketua Jabatan dan Dekan yang bertanyakan bila pengajiannya
akan tamat.
Apabila dia
menghantar tesis terlebih dahulu daripada Hani, dia sudah bersorak kegembiraan.
Dalam hati, dia berniat akan menghantar Hani ke India. Kalau Hani gila sangat
dengan Shah Rukh Khan, dia akan kabulkan impian itu. hehehe....setan dalam diri
Amie ketawa terbahak-bahak memikirkan apa perasaan Hani apabila terpaksa ke
India nanti.
Apabila Hani menghantar tesisnya sebulan kemudian, dia
juga menerima jawapan daripada penyelia tesisnya. Pada hari itu Hani pula yang
ketawa terbahak-bahak apabila bab dua tesisnya yang membincangkan mengenai
sorotan bertulis atau kajian perpustakaannya masih belum sempurna. Dia terpaksa
membuat pembetulan semula. Dan tesis Hani yang sebulan lebih lewat daripadanya
senang sahaja diluluskan oleh pihak senat Universiti.
Akibatnya Hani meminta dia ke Sepanyol. Seorang diri
selama sepuluh hari. Hani turut menamakan beberapa tempat yang ‘wajib’ dikunjunginya
sebagai ‘check point’. Argh...pertama kali mendengar hukuman itu, dia tersenyum
kerana hukuman yang diberikan oleh Hani itu tidaklah seteruk mana. Siapa yang
tidak mahu melancong ke Eropah?
Adakah Hani demam ketika memintanya ke sana? Dia dengan
bangga dan yakin akan berjaya mengharungi sepuluh hari itu dengan gembira. Oleh
kerana ketika ini, cuti semester baru bermula, jadi tidak menjadi kesalahan
untuk dia bercuti lama. Dan...semenjak dua hari yang lalu, dia berada di bumi
Sepanyol ini. Dia sudah mula terasa azabnya. Sebelum datang ke mari dia sudah
membaca serba sedikit mengenai negara itu. Dia tahu tentang rakyat Sepanyol
yang rata-ratanya tidak boleh berbahasa inggeris. Dia cuba mempersiapkan diri
dengan mempelajari bahasa itu secara asas. Malah kamus merupakan nyawanya
sekarang.
Tetapi, tidak seperti yang disangka, pengetahuan yang
hanya secara asas itu rupanya tidak banyak membantu. Baru mengucapkan perkataan
Hola? Usted habla ingles sudah
membuatkan beberapa orang yang ditanya menggeleng laju. Mereka seperti takut dan
cemas apabila ditanya adakah mereka boleh berbahasa inggeris. Malah ada yang
terus bercakap dengan laju macamlah bahasa Sepanyol itu bahasa ibundanya juga.
Memikirkan perkara itu, Amie merasakan lebih baik dia bergantung pada dirinya
sendiri.
Dia kembali membelek peta di tangan. Untuk pagi ini dia
akan ke Al-Hambra dahulu sebelum singgah di Al-Baycin untuk melihat surau kecil
di kawasan kejiranan orang-orang Arab yang masih ada hingga kini. Menurut
kakitangan yang bekerja di bahagian Informacion di Stesen bas Granada, dia
perlu mengambil bas mini untuk membawanya ke destinasi yang ingin dituju. Sudah
lebih sepuluh minit dia menunggu, bayang bas mini langsung tidak kelihatan.
Amie mula meragui apa yang dikatakan oleh kakitangan tersebut. Namun bagaikan
seperti mendengar isihatinya, sebuah bas mini berhenti betul-betul di
hadapannya.
“ Este autobus se
va alhambra?” Terkial-kial Amie membaca ayat yang sudah siap ditulisnya.
Hanya untuk bertanyakan adakah bas itu menuju ke Alhambra, dia menghabiskan
masa hampir setengah jam.
“ Si...si.” jawab
pemandu bas mini itu.
Amie menyebut perkataan Al-Hambra dan pemandu bas itu
mengangguk. Tanpa banyak soal dia membayar tambang yang dikenakan. Dalam hati
dia merungut juga. Mahal juga tambangnya. Walaupun mungkin murah dengan kadar
euro namun kalau dibandingkan dengan duit ringgit mahu demam memikirkan berapa
banyak duit yang terpaksa dihabiskan untuk merelisasikan hukuman yang dikenakan
Hani terhadapnya. Mujur ada juga yang sudi menaja perjalanannya ke mari.
BAB 15
Tidak sampai sepuluh minit melalui jalan yang sempit dan
muat-muat untuk sebuah kenderaaan mini dia tiba di tempat yang dituju. Amie
menghirup udara segar Alhambra. Dadanya terasa kembang serta merta. Tidak
menyangka pertaruhan ini akan membawanya menjejaki kesan peninggalan Islam di
Bumi Sepanyol ini. Sebaik turun, dia tidak membuang masa untuk beratur.
Walaupun jam belum menunjukkan pukul lapan namun pelawat yang beratur sudah
seperti ular kena palu sahaja lagaknya. Panjang dan berlekok-lekok.
Semasa beratur dia mendengar pengumuman yang dibuat dalam
tiga bahasa iaitu Bahasa Sepanyol. Arab dan Peranchis. Hmmm...satu bahasa pun
dia tidak faham. Amie sedikit kesal dengan kekurangan yang dimiliki. Dalam
beratur Amie merakam gambarnya sendiri. Dia turut membuat rakaman video.
Biarlah orang memandangnya dengan pelik kerana bercakap sorang-sorang dengan
bahasa yang tidak mereka fahami. Dia peduli apa asalkan keindahan Al Hambra ini
dapat dirakam dan diabadikan untuk dijadikan kenangan. Wah pasti Hani jeles dengan
aku lepas ni. Amie berbisik nakal.
Setengah jam kemudian Amie mula membuat senaman ringan.
Kakinya sudah lenguh berbaris namun barisan tetap juga panjang. Di saat ini
alangkah menyesalnya dia kerana tidak membeli tiket secara online. Harap-harap bila tiba gilirannya nanti janganlah jurujual
memberitahu tiket sudah habis. Kalau macam tu dia memang betul-betul akan
meraung.
Amie ketawa kecil. Pasangan yang beratur di depannya
menoleh. Dia hanya tersenyum sambil mengangguk. Sudah...mesti mereka memikirkan
bahawa dia sudah tidak siuman. Dalam matanya meliar dan senyuman yang masih
dibibir matanya bertembung dengan seseorang. Serta merta dahinya berkerut.
Mengapa dia merasakan bahawa dia pernah melihat lelaki ini. Tapi di mana ya?
Lelaki itu berterusan memandang...bukan, merenungnya.
Lama sehingga Amie sendiri menjadi tidak keruan. Dia cuba memandang ke arah
lain. Perkataan Al Hambra yang ditulis dengan tulisan arab itu di eja perlahan.
Alif Lam Ha mim ra Alif. Ayat itu diulangnya berkali-kali namun matanya tetap
terarah pada lelaki yang senang enak bersarapan.
Dari jauh Amie
melihat asap keluar dari minuman dalam bekas styrofoamnya. Tanpa sedar Amie
menjilat bibir. Sedapnya air yang lelaki itu minum. Air apalah agaknya?
Dahaganya dia. Semenjak semalam langsung setitis air tidak masuk kemulutnya.
Bodoh betul aku ni. Kutuk Amie memarahi diri sendiri. Semasa menunggu bas tadi,
dia siap berhenti di depan kedai runcit lagi namun tidak terfikir untuk membeli
bekalan untuk mengisi perut.
Perutnya yang berbunyi pelbagai irama semakin membuatnya
gelisah. Tidak mengapa. Selepas dia membeli tiket masuk dia akan menyerbu kedai
makanan tu. Darah menyerbu ke wajahnya apabila tiba-tiba lelaki itu mengangkat
bekas minuman ke arahnya. Senyuman yang menghiasi wajah lelaki itu cukup
memberitahu bahawa lelaki itu tahu apa yang bermain di fikirannya. Hantu betul.
Amie segera melarikan wajah.
Sepuluh minit kemudian tiket masuk sudah berada di
tangan. Amie melihat jam. Masih ada lima belas minit sebelum pintu gate dibuka.
Amie bertambah girang. Hasratnya untuk mengalas perut tercapai juga. Tanpa
membuang masa dia terus ke satu-satunya kedai yang menjual sarapan pagi dan
beberapa barangan cenderamata seperti poskad, buku-buku berkenaan Al Hambra,
keychain dan frigde magnet.
Dia tidak melepaskan peluang untuk membelek kerana dia
yakin dia tidak akan dapat semua ini di tempat lain. Lagipun Hani sudah memberi
pesanan bahawa setiap tempat yang dia pergi dia harus membeli fridge magnet
atau keychain sebagai kenang-kenangan. Malah Hani turut membekalkan wang
sebanyak RM200.00 semata-mata untuk membeli benda itu.
Sampai di bahagian makanan Amie teragak-agak. Dia cuak
dengan makanan yang ada dan dia sendiri tidak dapat menjamin sama ada makanan
yang dijual adalah halal ataupun tidak. Jadi, pilihannya semakin kecil. Apa
sahaja roti atau croissant yang berisi daging dan keju akan ditolak.
“ Toma esta tortilla, esta
deliciosa, podemos comer porque esta hecha de huevos y pan...” Amie segera berpaling apabila satu suara menganggu
pemerhatian terhadap makanan yang berjebah di hadapannya. Dan dia terkejut
apabila melihat lelaki yang memerhatikannya sebentar tadi sudah pun berasa di
sisi.
“ Perdon?” Dia
bersuara dan kerana hanya itulah antara ayat Sepanyol yang dia tahu dan hafal.
“
Saya kata ambil je tortilla. Sedap jugak. Kita boleh makan sebab
kandungannya hanya roti dan telur saja.”
Sekali lagi Amie melopong. Lelaki ini bercakap bahasa melayu dengannya. Lelaki
ini. Dia tidak salah mendengarkah?
“ Ish...tutuplah mulut tu. Lalat
masuk kang.” usik lelaki yang sudah makin ketara lesung pipit di pipinya. Amie
serta merta menutup mulut. Malunya sudah lengkap kini.
“ Awak orang melayu kan? Awak yang
naik bas dengan saya semalam kan? Dan saya rasa awak jugak perempuan yang
tersungkur dekat Metro Madrid semalam kan?” Bertubi-tubi soalan yang
dilemparkan sehingga Amie terasa mahu pengsan apabila soalan terakhir itu
didengarnya. Ya ALLAH...malunya aku. Macam mana dia boleh ternampak pula apa
yang berlaku pada aku? Amie cuba berlagak selamba. Seolah-olah kejadian yang
berlaku bukanlah masalah yang besar baginya.
“ Ya kenapa? Lutut awak yang sakit
ke?” balasnya dengan senyuman penuh kemesraaan yang dibuat-buat. Lelaki ini
tidak boleh dilayan. Kalau dilayan nampaknya akan menjadi-jadi. Dari dia sakit jiwa
melayani lelaki yang tidak dikenali ini lebih baik dia beredar. Masa masuk
sudah hampir tiba. Dan dia dapat melihat beberapa orang pelancong sudah
dibenarkan masuk lebih awal. Lebih baik dia ke sana kalau dia tidak mahu
melepaskan peluang yang sama.
“ Eh...marah ke? Jangan macam tu.
Kita jalan sama-sama eh?” Kejar Jad mendapatkan Amie yang sudah laju
langkahnya. Sementera Amie buat-buat pekak. Malas dia hendak melayani kelakuan
lelaki yang baginya seperti budak tidak cukup umur itu.
“ Berdua kan lebih baik. Saya boleh
ambil gambar awak. Awak boleh ambil gambar saya. Cik adik, kita kan orang asing
di bumi asing ni. Apa salahnya kita bekerjasama kan. Tak baik sombong-sombong
ni.” Masih tiada jawapan. Amie ralit menangkap gambar pemandangan indah di hadapan
mata. Taman indah yang dihiasi dengan pelbagai jenis bunga dengan pelbagai
warna amat menarik perhatiannya. Dan sepanjang laluan mereka, pokok yang telah
dihias dan direka khas menyelusuri sepanjang laluan mereka.
“ Hmmm...silence treatment.” Langkah
Amie terhenti dan menoleh. Lelaki yang sedia mengekorinya dari tadi masih ada
rupanya. Kerana keasyikan dengan persekitaran, dia benar-benar terlupa dengan
kehadiran lelaki ini. Jad sudah tersenyum-senyum. Dia tahu dia sedang mencabar
kemarahan gadis ini. Ah...rasakan. sampai bila dia enggan bercakap dengan aku.
Fikir Jad nakal.
“ Encik...?”
“ Jad Imran. Panggil saja Jad. Tak
payah susah-susah panggil saya encik. Tak siapa kisah dengan protokol-protokol
ni. Dan sebelum awak tanya, makna nama saya tu bersungguh-sungguh.” Jad
menghulurkan air minumannya namun Amie berterusan memandang dengan pandangan
yang hampir membunuh.
“ En. Jad Imran,” sambut Amie sambil
menekan sedikit perkataan encik itu.
“ Saya lebih suka berjalan sendiri
kalau awak tak kisah.” tegas Amie sambil memberikan senyuman manis yang
kemudiannya diganti dengan jelingan yang amat tajam.
“ Kalau saya kata saya kisah. Awak
nak buat apa?” Jad masih tidak mahu mengalah. Malah semakin galak pula dia
mengusik gadis yang sudah kelihatan merah padam mukanya. Dan tanpa berkata
apa-apa gadis itu terus membelakanginya. Sekelip mata sahaja dia melihat gadis
itu kembali khusyuk dengan rakamannya. Jad diam memerhatikan seketika. Jam di
tangan dikerling sekilas. Ah...sudah sampai masanya.
Dia merapati gadis yang masih tidak diketahui namanya.
Bahu gadis itu dicuit perlahan. Dan dia hampir ketawa melihat gadis itu hampir
melompat kerana terkejut. Sekali lagi mata galak itu menjelingnya tajam. Jad
sengaja buat-buat tidak nampak. Dia mengetuk lembut permukaan kaca jamnya.
“ Kalau awak nak masuk dalam Palacio
Nazaries, baik awak cepat. Nanti kalau giliran tamat, awak tak boleh masuk lagi
dah.” Amie hanya mencebir. Namun dia tidak bergerak seperti yang diminta oleh Jad.
Sukahati akulah nak masuk pukul berapa. Yang engkau sibuk-sibuk itu pasal apa?
Dah aku memang sudah berada dalam ni. Hendak masuk mana lagi? balas Amie dalam
hati.
“ Esta bien, no me digas despues que no te adverti.” (Okay...jangan
kata saya tak bagi amaran). Jad mengalah. Malas dia bercakap dengan orang
sombong yang berlagak pandai ni. Gasaklah engkau. Nanti jangan putih masa
sudahlah. Tanpa membuang masa dia berlalu dari situ. Kalau hendak menunggu
gadis ini mengikutnya alamat dia sendiri pula yang akan putih mata.
Mata Amie mengekori langkah lelaki
yang bernama Jad itu. Lama dia memandang dan baru dia teringat. Ya...lelaki
inilah yang terlanggar bahunya di kedai semasa membeli air di stesen bas di
Madrid semalam. Ya...lelaki inilah yang dikatanya sombong nak mampus itu. Baru
dia teringat. Huh...perangai lelaki ini memang menjengkelkan.
Memang kena dengan namanya. Bersungguh-sungguh konon.
Iyalah bersungguh-sungguh menyakitkan hati aku. Kutuk Amie dengan hati yang
masih membara. Tanpa membiarkan lelaki itu berterusan menganggu fikirannya, dia
terus merakam pelbagai gambar. Setelah berpuas hati mendapat gambar yang
diinginkan Amie mula melangkah menuju destinasi yang lain.
BAB 16
Kali ini Bano de La Mezquita yang
menjadi pilihan. Bangunan ini dikatakan bilik mandi dan tempat mengambil air
sembahyang bagi masyarakat Islam. Sekali lagi lensa kameranya merakam segala
sudut dan ruang. Tidak banyak masa yang diperuntukkan sebelum dia tiba di
Palacio Nazaries. Amie melihat ramai pelancong yang sedang beratur. Merasakan ada
sesuatu yang menarik yang menyebabkan keadaan itu dia turut sama beratur.
Dalam pada itu dia turut tercari-cari di mana bangunan
yang menempatkan seni pembinaan Islam itu. Tiba-tiba ada seorang perempuan
datang menghampiri mereka yang sedang beratur. Amie segera mengeluarkan
tiketnya kerana melihat itu yang diminta oleh pemeriksa tiket itu pada orang di
hadapannya.
Perempuan berbangsa Sepanyol itu
memeriksa tiketnya dan menyuruh Amie keluar dari barisan. Dengan pen ditangan,
pemeriksa itu membulatkan masa masuk yang terdapat di tiket milik Amie. Tertera
pukul sepuluh dan ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 10.50. Amie melopong.
Dia tidak memahami langsung apa yang dikatakan oleh pemeriksa itu. Dia cuba
merayu namun ketegasan pemeriksa itu tidak dapat dilenturkan. Walaupun
keberatan Amie tetap juga keluar barisan.
Tanpa membuang masa dia mencari
kaunter informacion yang terletak berhampiran kawasan itu. Seperti yang diduga,
perempuan yang bertugas di kaunter itu juga tidak boleh berbahasa Inggeris.
Bila Amie bertanya dia menjawab dalam bahasa ibundanya. Amie mula terasa
bengang. Adakah setiap rakyat Sepanyol ini tidak pandai berbahasa Inggeris
serta mempunyai tanggapan bahawa setiap orang yang datang ke negara mereka ini
semuanya boleh berbahasa Sepanyol?
Amie meneliti tiketnya. Rupa-rupanya
ada arahan di belakang tiket tersebut. Amie menepuk dahi. Patutlah dia disuruh
keluar barisan. Dia sendiri cuai. Kenapalah dia tidak membaca terlebih dahulu.
Sudah jelas arahan yang diberikan dalam bahasa Inggeris itu meminta pelawat
tidak lewat dari masa yang tertera untuk memasuki bangunan Palacio Nazaries.
Tiba-tiba dia teringat kembali kata-kata Jad. Lelaki itu
turut mengesanya supaya cepat. Jad tahu apa yang akan berlaku sebab itu dia
mengajaknya pergi sekali. Arghhh...kalau tidak kerana dia...tidaklah aku jadi
kalut begini. Amie menyalahkan Jad pula. Sesungguhnya dia berasa amat hampa.
Hilang moodnya untuk berjalan-jalan di Al hambra. Tujuan kedatangannya adalah
untuk melihat tinggalan Islam itu namun satu-satunya keinginannya itu dirampas
pula. Permandangan indah di hadapannya dirasakan sudah tidak menarik. Bunga-bunga
mekar dan indah sudah tidak berseri lagi. Amie menahan diri dari menangis. Dia
benar-benar kecewa.
Dari jauh Jad memerhatikan Amie
duduk termenung. Begitu jauh menungannya sehingga tidak sedar dengan apa yang
berlaku disekeliling. Sudah setengah jam dia duduk memerhati namun Amie tiada
tanda-tanda untuk beredar dari situ. Dia serba salah. Adakah patut dia
menghampiri Amie yang sudah tentunya tidak akan menyukai kedatangannya? Namun
untuk membiarkan Amie terus bersedih tidak sampai hati pula. Dalam berkira-kira
perlahan kakinya mula melangkah.
Dia seperti dapat mengagak apa yang berlaku. Ini mesti
kes terlepas masa ni. Hendak ketawa pula mengenangkan kedegilan Amie namun
kalau dia berbuat demikian di hadapan Amie mahu sahaja matanya lebam ditumbuk.
Orang yang sedang marah sanggup melakukan apa sahaja asalkan hatinya puas.
Amie masih melayani perasaan hampa dan langsung tidak
menyedari dia semakin dihampiri seseorang. Tanpa menunggu dipelawa Jad terus
menghenyakkan tubuhnya di sebelah gadis itu. Dia diam tanpa bersuara. Menunggu
dan terus menunggu gadis itu menenangkan perasaan dan bersedia untuk berbual
dengannya. Lama kelamaan dia melihat gadis itu mengangkat wajah dan pandangan
mereka bertemu. Untuk seketika dia melihat gadis itu seperti keliru sebelum
terkejut dengan kehadirannya di situ.
“ Berapa lama awak ada di sini?” soal
Amie dengan suara yang serak. Jad hanya mengangkat kening memberitahu bahawa
dia sudah berada di situ agak lama. Mendengar itu Amie membetulkan duduknya.
Mungkin niat lelaki itu mahu mempersendanya.
“ Kalau awak nak ketawakan saya.
Ketawalah. Saya ni memang bodohkan?” kutuk Amie pada diri sendiri. Dia tahu
kenyataan itu. Lalu tidak perlulah Jad datang menambah luka yang ada.
“ Emmm...sikit-sikit adalah.” balas Jad sambil ketawa. Sepantas
kilat Amie memandangnya. Melihat riak muka Jad ketika itu akhirnya turut
mengundang senyum Amie.
“ Nama awak siapa ya?” Jad mula mengorek maklumat. Tidak
adillah hanya gadis ini sahaja yang tahu namanya. Lagipun bagaimana hubungan
mereka akan berkembang jikalau nama pun masih menjadi rahsia. Hubungan. Jad
mahu tergelak mendengar ayatnya sendiri. Mereka baru sahaja bertemu, masakan
mahu bercakap tentang hubungan? Wajah suram insan di sebelah dikerling sesaat.
Tanpa sedar senyuman misteri terbit dari bibirnya.
“ Amie. Amie Najla’.” jawab Amie yang gayanya seperti
gaya kebiasaan James Bond memperkenalkan diri. Sekali lagi mereka tersenyum.
“ Maaflah pasal tadi. Selalunya saya tak bodoh sombong
macam tu.” sambung Amie mengenangkan kelakuannya pagi tadi.
“ Awak ada dengar saya kompelin ke?”
Apabila Jad mengajaknya bergerak ke Generalife Garden Amie
lantas bersetuju. Malas dia mahu melayani rasa terkilannya lagi. Kalau
diingat-ingatkan pun buat sakit jiwa sahaja. Dia hanya membiarkan sahaja
apabila tiba-tiba Jad mengambil kamera dari tangannya. Sangkanya Jad mahu
meminjam untuk mengambil gambar namun apabila wajahnya yang menjadi sasaran
lensa Amie berasa cuak. Berani sungguh Jad Imran ni. Komennya di dalam hati.
“ Biar saya ambil gambar untuk awak. Balik Malaysia nanti
boleh buat kenangan.” Hanya itu saja yang dijawab Jad apabila berkali-kali dia
meminta agar dipulangkan kameranya.
“ Saya ada ambil gambar dalam Palacio Nazaries tu. Kalau
awak nak awak bagi emel nanti saya emelkan pada awak.” saranan Jad itu disambut
dengan gelengan. Dia tidak akan puas dengan melihat gambar sahaja. Kalau mahu
gambar tidak perlu menunggu emel dari Jad, dia boleh membeli buku-buku yang
banyak terjual di sekitar Alhambra ini.
Untuk Palacio Nazaries, tidak berbaloi kalau tidak
melihat dengan mata kepala sendiri. Walaupun terpaksa membuang 12 euro lagi
tidak mengapa asalkan dia dapat kembali lagi ke sini. Tetapi bilakah masa yang
sesuai kerana esok dia akan bertolak ke Cordoba pula? Dan selepas itu balik
semula ke Madrid untuk meneruskan perjalanan ke Barcelona pula. Mahu tidak mahu
dia hanya ada hari ini sahaja. Langkah Jad terhenti melihat wajah Amie kembali
suram.
“ Jangan sedih Amie. Kalau awak nak, saya boleh temankan
awak datang malam ni.” cadang Jad seolah-olah dapat membaca apa yang sedang
berkecamuk di fikiran Amie.
Malam ini. Malam ini. Amie berfikir seketika. Malam ini
sememangnya dia tiada agenda untuk ke mana-mana. Cadangnya hanya mahu
berjalan-jalan di sekitar hostal penginapannya. Tapi beranikah dia keluar
berdua bersama-sama dengan Jad? Dia belum mengenali lelaki ini dengan lebih
mendalam. Yang pasti dia tidak tahu sama ada Jad benar-benar seorang lelaki
yang baik. Wajarkah dia meletakkan kepercayaaan terhadap Jad?
“ Boleh ke saya percayakan awak?” akhirnya pertanyaan itu
terluah juga. Jad mengangkat bahu. Terpulanglah kepada Amie sama ada mahu
mempercayainya ataupun tidak. Dalam perkara ini dia tidak boleh memaksa Amie
untuk menuruti cadangannya.
“ Percaya itu satu kuasa Amie. Sama ada awak percaya atau
tidak awak yang berhak menentukannya.”
“ Toma esta opurtunidad, confia
en mi Amie” sambung Jad lagi
dalam bahasa sepanyol,
bersungguh-sungguh meminta Amie mengambil peluang itu dan mempercayainya
sepenuh hati. Tanpa sedar Amie mengangguk. Walau sikit pun dia tak faham apa
yang dikatakan namun dia yakin Jad mahu dirinya diberi sepenuh kepercayaan.
Satu peluang. Mungkin itu yang Jad maksudkan. Memang benar dia mengambil risiko malam ini namun dia
yakin kalau benarlah naluri yang dirasanya ketika ini Jad sememangnya lelaki
yang baik. Jad tidak akan mengapa-apakannya.
Malam itu dan hari-hari yang seterusnya masanya banyak
dihabiskan bersama Jad. Kebetulan mereka menuju ke Cordoba dengan menaiki bas
yang sama. Dia tidak tahu kenapa dia begitu senang untuk bercerita dengan Jad.
Sekali ditanya laju sahaja bibirnya mahu bercerita. Entahlah...dia amat
menyenangi Jad. Bersahabat dengan lelaki itu membuatkan dia berasa seperti
seorang wanita yang amat istimewa. Tidak perlu pada pandangan orang lain. Namun
cukuplah pada pandangan Jad seorang.
Ah! Amie. Kau tidak boleh berfikir seperti itu. Engkau
tidak berhak. Lupakah engkau dengan apa yang berlaku? Kau tidak berhak untuk
menipunya begini. Sudah beberapa hari berlalu kenapa kau masih merahsiakan
perkara itu padanya? Adakah kau memang sengaja mahu melukakan hatinya?
Tidak! Tidak. Bukan itu niat aku. Aku tidak bermaksud
untuk melukakan hatinya. Aku tidak berniat untuk menipu Jad. Aku hanya
bersahabat dengannya. Tiada apa-apa ikatan antara kami. Malah Jad tidak
mempunyai perasaan terhadap aku. Jadi tidak salah kalau aku tidak
memberitahunya.
Adakah kau yakin bahawa Jad benar-benar tidak menyimpan
perasaan terhadap kau? Segala perhatian, layanan serta senyuman yang
dilemparkan, adakah kau yakin Jad tidak berasa apa-apa? Ya aku yakin. Hubungan
kami hanya mesra sebagai seorang kawan sahaja. Hanya aku dan dia sahaja dari
negara yang sama di bumi asing ini. Secara kebetulan perjalanan kami berdua
sama destinasinya. Adakah salah aku kalau berkawan dengannya?
Amie buntu dengan perasaannya
sendiri. Wajarkah dia mempunyai rasa ‘itu’ ketika bersama-sama Jad? Dia tahu
tidak seharusnya dia berbuat begitu kerana keadaan akan menjadi lebih sulit
lagi. Dia seharusnya berterus-terang dahulu. Dia seharusnya bercerita perkara
yang sebenarnya daripada menyemai perasaan yang sewajarnya tidak boleh
dibiarkan semakin bercambah mekar.
Esok...ya. Esok aku akan berterus-terang dengannya. Aku
akan menceritakan segala-galanya. Setiap yang kita lakukan biarlah jujur kerana
kejujuran itu telalu penting dalam sebuah kehidupan. Tanpa kejujuran hidup akan
sentiasa menjadi mainan orang. Amie memasang tekad. Mulai esok dia akan
memberitahu segala-galanya. Dia tidak akan berselindung lagi.
“
Suprise...” Satu suara menegur
sambil menutup kedua belah matanya. Amie kaku dan pucat. Bagaimana perkara ini
boleh berlaku? Suara yang menegurnya tadi ketawa riang kerana menyangka telah
berjaya membuatnya terkejut. Amie menurunkan tangan yang sedang menutup matanya
namun dia tidak berpaling. Tidak berani berpaling. Dia tahu siapa itu. Tidak perlu dilihat
kerana dia tahu benar siapa empunya suara itu. Dan apa yang lebih meremukkan
hatinya apabila Jad ada disitu menyaksikan apa yang berlaku sebentar tadi. Dia
dapat melihat wajah Jad yang seakan tidak percaya dengan apa yang diihat. Amie
hanya pasrah. Luka rawan hatinya semakin memuncak.